Friday, March 4, 2011

Lunas 2.4 juta saman dalam 3 hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.4 juta saman tertunggak diselesaikan pesalah trafik dalam tempoh tiga hari lalu selepas kerajaan memutuskan melanjutkan tempoh pemberian diskaun sebanyak 50 peratus sehingga 10 Mac ini.
Setakat ini, jumlah keseluruhan saman dibayar adalah 7.9 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail berkata, pesalah trafik yang masih memiliki saman tertunggak perlu mengambil peluang kedua ini untuk membayarnya sebelum dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, jika orang ramai masih gagal membayar saman mereka, kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan menyenarai hitam serta menguatkuasakan Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dan pesalah trafik mungkin digantung memandu selama enam bulan.

“Bagi tempoh lanjutan pembayaran saman diskaun 50 peratus ini, kaunter di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 10 malam termasuk pada hujung minggu.


“Kami juga yakin sistem maklumat rekod dan pengeluaran resit berkomputer secara talian yang sebelum ini tergendala kerana tidak dapat menampung permohonan yang terlalu banyak akan dapat diatasi serta berjalan lancar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Pelancaran Bayaran Saman Trafik di Kaunter Pos Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pos Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata, semua pejabat pos di Lembah Klang dan Pejabat Pos Besar setiap negeri akan dibuka pada Sabtu dan Ahad (5 dan 6 Mac) ini dengan waktu operasi seperti hari biasa.

“Kami memahami terdapat pelanggan mengalami kesukaran untuk membayar saman pada hari biasa dan bagi menyelesaikan masalah itu Pos Malaysia membuka cawangan terpilih pada hujung minggu ini.
“Dengan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh bayaran, kami juga menjangka pertambahan jumlah pelanggan untuk menyemak dan membayar saman,” katanya. “Kami berharap mereka menjelaskan saman lebih awal dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkesesakan di pejabat pos,” katanya.myMetro | Lunas 2.4 juta saman dalam 3 hari

No comments:

Post a Comment