Tuesday, May 10, 2011

Abu Bakar Bashir terlepas hukuman gantung



JAKARTA 9 Mei - Pendakwa raya Indonesia hari ini menggugurkan dakwaan paling serius kegiatan keganasan ke atas guru radikal agama Abu Bakar Bashir kerana kekurangan bukti, sekali gus mengubah hukuman gantung yang dihadapinya sebelum ini kepada penjara seumur hidup.
Pendakwa raya semasa perbicaraan hari ini berhujah bahawa dakwaan membekalkan senjata api dan bahan letupan untuk kegiatan keganasan ke atas Abu Bakar yang memperuntukkan hukuman mati, 'tidak boleh dibuktikan dengan yakin'.
Turut digugurkan ialah dakwaan menghasut keganasan, sekali gus meninggalkan hanya satu pertuduhan ke atasnya iaitu membiayai kegiatan keganasan yang mana pihak pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara seumur hidup.
Beratus-ratus penyokong guru radikal tersebut bersorak kegembiraan selepas mengetahui keputusan berkenaan.
Kira-kira 2,500 anggota polis ditempatkan di mahkamah hari ini bagi mengawal keselamatan semasa prosiding mahkamah dijalankan.
Dengan pengguguran dakwaan itu, Abu Bakar kini berhadapan hanya satu pertuduhan kerana membekalkan dana untuk kumpulan al-Qaeda Aceh yang merancang serangan ala-Mumbai di Indonesia.
Abu Bakar ketika diiringi keluar dari mahkamah berkata, dia menafikan dakwaan tersebut dengan menyamakan pendakwa raya sebagai 'rakan syaitan'.
"Rakan syaitan selalu begitu, mereka sering tidak sependapat dengan orang yang cuba mempertahankan Islam.
"Mereka sangat biadab dan seharusnya dilabel sebagai pengganas. Semoga Allah menurunkan bala ke atas mereka secepat mungkin," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment