Tuesday, May 10, 2011

Majlis doa untuk Nur Syaza Sakinah



KUALA PILAH 9 Mei - Satu majlis bacaan doa diadakan di Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini hari ini, bagi memohon petunjuk agar Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan itu minggu lalu, ditemui.
Selain anggota pasukan mencari dan menyelamat, majlis itu disertai anggota keluarga dan saudara mara pihak bapa mangsa, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 32.
Bapa saudara mangsa, Wan Aziz Wan Abdullah berkata, usaha mencari Nur Syaza Sakinah diteruskan hari ini dan pihaknya masih menaruh harapan tinggi untuk menemui mangsa dalam keadaan apa sekali pun.
Katanya, kali ini kira-kira 40 ahli keluarga Said Ahmad dan Wan Azlela bergabung tenaga meneruskan usaha itu dengan dibantu pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
"Tidak ada perselisihan faham di antara kami, malah kami semua bertekad bersatu demi Nur Syaza Sakinah dan berharap keadaan ini akan berkekalan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Nur Syaza Sakinah adalah salah seorang daripada tiga beradik yang dihanyutkan air deras ketika sedang mandi-manda di hutan lipur tersebut Selasa lalu.
Kedua-dua kakaknya, Allahyarham Nur Syaza Alisa, 5, dan Allahyarham Nur Syaza Azira, 4, yang ditemui lemas telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, sehari selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, Said Ahmad dan kenalan wanita, Alwani Abu Hassan, 18, yang turut dihanyutkan kepala air berjaya diselamatkan oleh orang ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba berkata, operasi mencari akan diteruskan dan semua pihak yang menyertai usaha tersebut memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakannya.

No comments:

Post a Comment