Tuesday, May 10, 2011

Adik Beng Hock diberi amaran





KELUARGA mendiang Teoh Beng Hock hadir dalam memberi keterangan semasa prosiding suruhanjaya siasatan di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Mei – Teoh Lee Lan, adik kepada Teoh Beng Hock yang hadir memberi keterangan hari ini diberi amaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap suruhanjaya siasatan kematian lelaki tersebut sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah laman sesawang pada hujung bulan lalu.
Pengerusinya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan yang ada terhadap eksekutif akaun itu sekiranya dia berbuat demikian.
‘‘Kami bekerja sehingga larut malam serta lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami merasa tersinggung dengan tuduhan seperti itu.
‘‘Malah peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong membuat kenyataan bahawa tidak ada bukti yang menyokong dakwaan tersebut. Kami tidak akan biarkan perkara sebegini merosakkan prosiding,’’ tegas beliau.
Lee Lan, 31, yang dikatakan mendakwa suruhanjaya siasatan itu berpakat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila menangguhkan prosiding untuk memastikan keterangan saksi-saksi selari, pada mulanya terpinga-pinga bagaimanapun menafikan membuat kenyataan itu.
Berita bertajuk ‘RCI sekongkol dengan SPRM’ yang memetik kata-kata wanita itu disiarkan oleh portal berita tersebut pada 28 April lalu.
Cheng Yuen juga sekali lagi menegur Lee Lan apabila saksi itu berkata bahawa dia akan mempunyai keyakinan terhadap suruhanjaya sekiranya badan itu benar-benar jujur dan ikhlas dalam mencari kebenaran.
‘‘Lee Lan telah bercakap lebih daripada cukup. Kami tidak akan benarkan awak menuduh kami. Perkara ini lebih besar daripada apa yang kamu fikirkan,’’ kata Cheng Yuen sebelum melepaskan saksi itu.
Sementara itu, Soh Cher Wei, tunang kepada Beng Hock tidak dapat menahan kesedihan sewaktu memberi keterangan apabila menangis sebanyak dua kali ketika menceritakan tentang personaliti Setiausaha Politik Exco Selangor itu serta hubungan mereka.
‘‘Saya anggap dia sebagai seorang lelaki yang akan bersama saya dan menjadi teman hidup saya sehingga ke akhir hayat saya,’’ katanya semasa menjawab soalan anggota suruhanjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Sebelum itu, Cher Wei yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah juga menitiskan air mata apabila menceritakan Beng Hock lebih pandai memasak berbanding dirinya dan betapa lelaki itu begitu menyayangi keluarganya dan pulang ke Melaka hampir setiap minggu.
Saksi ke-66 itu bagaimanapun mengaku mereka sebenarnya merancang untuk berkahwin pada 2010 selepas menjalin hubungan sejak 2007 dan mempercepatkan tarikh perkahwinan selepas mendapati dirinya hamil pada awal Julai 2009.
Dia turut mengaku bahawa Beng Hock belum membuat pendaftaran perkahwinan dan merancang untuk berbuat demikian selepas mengambil gambar perkahwinan mereka pada 18 atau 19 Julai 2009, manakala majlis perkahwinan dijadualkan pada 3 Oktober tahun yang sama.
Cher Wei dan Beng Hock mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 22 Februari 2010 dan turut dibawa ke mahkamah hari ini.
Turut memberi keterangan hari ini ialah bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, 63, dan abang lelaki itu, Teoh Meng Kee, 35, serta pegawai SPRM, Azean Omar yang dipanggil semula untuk memberi penjelasan tentang beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar olehnya.
Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

No comments:

Post a Comment