Tuesday, May 10, 2011

Ahmadinejad nafi diugut Khamenei


AHMADINEJAD (kanan) bersama Khamenei di Tehran, Sabtu lalu.
AHMADINEJAD (kanan) bersama Khamenei di Tehran, Sabtu lalu.



TEHERAN: Pejabat Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menafikan laporan media bahawa Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei memberi kata dua kepada pemimpin itu agar secara terbuka menyokong menteri perisikan atau diminta berundur. 

Akhbar termasuk Shargh berpusat di sini, melaporkan bahawa ada perbalahan meluas di antara pemimpin Iran, berikutan pertikaian Ahmadinejad dengan menterinya Heidar Moslehi.
Akhbar Aftab berpusat di sini 5 Mei lalu melaporkan Khamenei mengeluarkan kata dua kepada Ahmadinejad supaya melantik semula menteri berkenaan, memetik anggota parlimen Morteza Agha-Tehrani sebagai berkata.
“Berita itu salah dan justeru ia dinafikan,” kata pejabat presiden dalam satu kenyataan diterbitkan lewat kelmarin menerusi laman webnya. 

“Kami memohon semua media mengelak menerbitkan berita tidak rasmi mengenai presiden.” 

Khamenei pemimpin tertinggi negara itu bulan lalu mengembalikan jawatan Moslehi, yang mana peletakan jawatannya sebelum ini diterima presiden. 

Ahmadinejad memulaukan mesyuarat rasmi selama seminggu selepas pengembalian jawatan terbabit, walaupun beliau menafikan wujud konflik apabila beliau kembali bertugas 2 Mei lalu. Beliau tidak menjelaskan ketidakhadirannya dan masih belum menyokong Moslehi. 
Dalam satu ceramah di sini kelmarin, ulama kanan, Kazem Sedighi menggesa presiden tunduk kepada permintaan Khamenei, lapor agensi berita Fars. 

“Jika pemimpin agung meneliti kerja presiden ia adalah kerana beliau tahu apa yang baik untuk negara dan kerajaan dan sebagai penjaga, beliau mengawal situasi supaya tiada seorang pun akan berpaling tadah,” kata Sedighi kepada satu perhimpunan di sini. 

“Presiden, anda berkata anda akan membawa musuh supaya melutut mematuhi pemimpin agung. Namun kata-kata tidak cukup buat kami, kami sedang menunggu tindakan anda,” kata Sedighi. – Agensi 

No comments:

Post a Comment