Tuesday, May 10, 2011

Datuk Sarimah semakin pulih




Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad kelihatan semakin sihat. Setelah tiga tahun menderita penyakit kanser hidung dan otak, kini Sarimah semakin pulih.

Bertemu Sarimah baru-baru ini, menjelaskan perjalanan hidupnya selama menghidapi penyakit ini.

“Saya hanya dapat tahu penyakit ini pada tahap keempat. Waktu itu doktor memberitahu jangka hayat saya hanya boleh bertahan sekitar tiga bulan.

“Namun saya tekad untuk terus berusaha. Saya akui memang tidak mahu melakukan sebarang pembedahan pada diri saya. Biarlah apa sahaja kelahiran saya ini, jika tiada nyawa di badan ia masih sama.

“Sepanjang masa itu juga, saya tidak mampu untuk berjalan dan berdiri. Anak-anak saya yang banyak membantu saya. Mereka sentiasa ada bersama saya,” katanya pada majlis sambutan hari lahirnya yang dianjurkan oleh Karyawan di Restoran Warisan.

Menginjak usia 69 tahun, Sarimah mengakui tidak mahu menghebahkan kisah penyakitnya ini kepada khalayak kerana beliau tidak mahu perkara ini akan menyusahkan orang lain.

“Saya tidak mahu orang tahu akan cerita saya sakit. Apabila ada yang menghubungi, saya hanya katakan keadaan saya tidak sihat. Saya juga tidak boleh berjalan dan hanya duduk di rumah.

"Setelah dua tahun, saya diperkenalkan dengan sejenis suplemen. Alhamdulillah, dengan bantuan seorang profesor serta sentiasa bersenam dan jaga makan, saya kini sudah boleh berdiri dan berjalan.

"Saya tidak kisah untuk menelan pil sebanyak 16 biji dan perlu makan sembilan kali sehari. Saya hanya yakin dan terus berusaha untuk pulih ,” katanya yang tidak henti-henti melafazkan rasa syukur pada Yang Maha Esa.

Bercerita saat mula penyakitnya, Sarimah berkata, kepalanya akan tiba-tiba sakit dan mengeras. Bukan itu sahaja, hidung dan lidahnya juga akan mengalami perkara yang sama. Pandangan saya kabur kerana mata saya juga mengalami perkara yang sama.

“Sakitnya seperti ada sesuatu yang menekan kepala saya. Rasa tak boleh tahan dan membuatkan pergerakan terbatas. Kerana itu, saya tidak boleh bergerak dan perlu berehat. Tapi setelah mengamalkan pil dan mengikut diet yang betul, Alhamdulillah semuanya kini sudah normal,” ceritanya yang berharap kesihatannya akan kembali pulih seperti biasa.

No comments:

Post a Comment