Wednesday, July 6, 2011

Anwar gagal lagi cubaan minta hakim tarik diri


PUTRAJAYA - Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya hari ini bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang enggan menarik diri daripada mendengar kes liwat melibatkan beliau.

Hakim Datuk Hasan Lah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Ma'arop, berkata tidak ada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mohd Zabidin.

Panel tiga hakim itu juga menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan hari ini sehingga rayuannya didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar membuat rayuan itu berhubung keputusan Hakim Mohd Zabidin pada 6 Jun lepas untuk menolak buat kali ketiganya permohonan supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar kes liwat berkenaan.

Dalam permohonannya itu, Anwar mahu hakim lain mendengar kes liwat terhadapnya kerana mendakwa Hakim Mohd Zabidin telah membuat keputusan awal dalam kes itu dengan menerima sebagai betul keterangan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 64, sedang menghadapi pertuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada 26 Jun 2008.

Pada 16 Mei lepas, Hakim Mohd Zabidin memerintahkan Anwar membela diri terhadap pertuduhan itu.

Di luar mahkamah, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, berkata beliau akan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan esok. - Bernama

SH

No comments:

Post a Comment