Wednesday, July 6, 2011

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Isteri pegawai bank menangis

BARISAN pendakwaraya menyoal saksi kelima, Lans Koperal Kasmir Luntuk. Gambar kecil, Suzana Radin Pangat
BARISAN pendakwaraya menyoal saksi kelima, Lans Koperal Kasmir Luntuk. Gambar kecil, Suzana Radin Pangat
Cam barang peribadi arwah suami, sambung keterangan walaupun sebak

SHAH ALAM: Isteri kepada pegawai bank, Noorhisham Mohamad, menangis di Mahkamah Tinggi semalam, ketika mengecam barangan peribadi milik arwah suaminya itu dan apabila menceritakan kembali perbualan telefon terakhirnya dengan suami pada 30 Ogos 2010.
Ketika diminta mengecam telefon bimbit Blackberry Bold berwarna hitam dan jam tangan jenama Longines, pembantu peribadi di bank CIMB, Jalan Raja Laut, Suzana Radin Pangat, 39, beberapa kali mengesat air matanya dengan tisu, sebelum mengesahkan barangan itu milik arwah suaminya.
“Jam itu anugerah daripada CIMB (majikan arwah cawangan Kampung Baru) kerana prestasi cemerlang beliau pada 2008, manakala telefon bimbit BlackBerry dibeli arwah sendiri,” katanya yang sudah 16 tahun mendirikan rumah tangga dengan Noorhisham.

Ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir sama ada beliau ingin menangguhkan prosiding sebentar untuk menenangkan dirinya, Suzana cuba mengawal emosinya sebaik mungkin dan bertekad meneruskan prosiding dengan menjawab soalan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof.

Menceritakan perbualan telefonnya dengan Noorhisham, Suzana dengan sebak berkata, panggilan pertama diterima pada jam 4 petang dan suaminya memaklumkan beliau dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim akan ke Banting menaiki kereta rakannya itu.

Ishak: Pada tarikh sama, bila kali terakhir beliau (Noorhisham) hubungi awak?
Suzana: Pada malam itu, lepas berbuka puasa kira-kira jam 8 malam, suami ada telefon saya.

Ishak: Apa yang diberitahunya?

Suzana: Beliau telefon cakap beliau tak boleh pulang tiga hari kerana ada hal. Saya tanya kenapa? beliau cakap, beliau nak cuba selamatkan Datuk Sosilawati sebab pemandu Datuk, Kamal (Kamaruddin Shamsuddin), ada satu gambar tak elok dan ugut nak sebarkan. Beliau dan Ahmad Kamil terpaksa bantu Datuk. Beliau minta saya faham situasi itu dan minta maaf banyak-banyak pada saya. Beliau kata dalam masa tiga hari, beliau balik dan cerita apa berlaku.

Suzana yang kelihatan sebak terdiam seketika sebelum berkata: “Lepas itu saya tanya di mana beliau, beliau tak jawab. Saya tanya beliau buka puasa di mana pun beliau tak jawab. Beliau hanya minta maaf banyak-banyak dari saya, macam nak cepat dan terus matikan talian telefon.”

Beliau kemudian menangis lagi sebelum menyambung semula keterangannya dengan berkata, beliau menghantar SMS kepada suaminya 15 minit selepas menerima panggilan telefon itu kerana marah.

Ishak: Apa awak cakap?

Suzana: Saya cakap kenapa beliau sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari. Masa itu bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri akan disambut pada 12 September (lagi seminggu).

Ishak: Perasaan awak?

Suzana: Pada masa itu saya marah. Saya tidak menelefonnya dan hanya menghantar SMS kerana saya marah.

Ishak: Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?

Suzana: Beliau ada telefon tetapi saya tidak jawab.

Ishak: Kenapa awak marah?

Suzana: Beliau pergi tiga hari tak balik saya tak dapat hubungi beliau, beliau tinggalkan saya dengan tiga anak dan itu bukan satu keputusan yang saya boleh terima.

Suzana berkata, kali terakhir beliau melihat suaminya itu ketika Noorhisham menghantarnya ke tempat kerja pada jam 8 pagi hari yang sama dan beliau ada memaklumkan akan ke Banting atas urusan membabitkan Sosilawati.

Perbicaraan bersambung hari ini.
Berita Harian Online | Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Isteri pegawai bank menangis

No comments:

Post a Comment