Wednesday, July 6, 2011

Kenyataan Media: Penjelasan Kehadiran Wardina Safiyyah dalam Karnival Mesra Rakyat ‘Jom Santai’


Saya ingin menjelaskan mengenai kehadiran personaliti dan ikon Wardina Safiyyah di Karnival Mesra Rakyat ‘Jom Santai’ di Desa Mentari baru-baru ini. Kehadiran beliau telah mendapat liputan meluas blog-blog tertentu yang sengaja membuat andaian tertentu demi kepentingan mereka.

Karnival Mesra Rakyat tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Seri Setia dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 24 MBPJ dan Persatuan-Persatuan Penduduk Desa Mentari.

Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim telah merasmikan acara tersebut di sebelah pagi sementara Ahli Parlimen Gombak / ADUN Bukit Antarabangsa YB Azmin Ali merasmikan majlis penutupnya di sebelah malam.

Antara personaliti yang hadir pada sesi-sesi khas Karnival Mesra Rakyat termasuklah ikon bola sepak negara, Safee Sali; 5 pemain Selangor yang memenangi Piala AFF Suzuki iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal; dan penulis terkenal Uthaya Sankar SB.

Selain itu juga diadakan persembahan dan majlis penghargaan untuk pusat pemerkasaan kanak-kanak secara sukarela, Projek Mentari serta ceramah gejala sosial remaja oleh wakil Klinik 1Malaysia. Saya bersama-sama rakan-rakan telah menubuhkan Projek Mentari sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi dan merupakan antara sebab mengapa saya begitu bersemangat menjalankan pelbagai program di kawasan flat kos rendah pelbagai kaum Desa Mentari.

Saya secara peribadi menjemput Wardina untuk hadir untuk menyampaikan motivasi ibu bapa. Wardina merupakan sahabat saya dan saya menganggapnya sebagai ikon Muslimah muda yang mampu menarik masyarakat pelbagai kaum.

Malangnya ada blogger-blogger tertentu yang membuat andaian program tersebut program parti politik dan menggunanya untuk menyerang Wardina. Gambar Twitter yang diambil oleh saya dan rakan-rakan juga telah menjadi modal fitnah blogger-blogger tertentu.

Saya ingin meminta maaf kepada Wardina memandangkan kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat ini telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan. Saya ingin menegaskan saya tiada niat untuk mengundang spekulasi pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti Kerajaan bukan BN ketika menjemput beliau hadir ke Karnival ini.

Hairannya ikon atau artis yang menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan mahupun BN secara langsung sendiri tidak dilayan seperti Wardina. Pendirian saya bahawa kita sewajarnya menghormati keputusan mana-mana ikon atau artis yang ingin hadir pada apa jua program kemasyarakatan tidak kisah siapa penganjurnya.

Kepada blogger-blogger yang menimbulkan fitnah dan tohmahan, hentikanlah menyerang Wardina semata-mata kerana prejudis politik mereka. Mari kita bertempur di gelanggang politik, sebagai orang politik tanpa perlu mengheret pihak-pihak lain.

Kewibawaan Wardina sebagai ikon Muslimah jauh berbanding blogger-blogger murahan tersebut yang mengambil pendekatan aib, fitnah dan tohmah.

Saya begitu sedih bagaimana program masyarakat sebegini boleh serta penglibatan seorang ikon bukan politik boleh disalahtafsirkan dalam suasana politik dangkal negara hari ini. Kehadiran Wardina berserta tokoh-tokoh lain telah memberikan kesan positif yang besar kepada penduduk Desa Mentari.

Saya mengeluarkan kenyataan ini semata-mata untuk mempertahankan penglibatan Wardina di dalam Karnival Mesra Rakyat tersebut demi kepentingan masyarakat dan tanpa niat yang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad


Dipetik daripada blog Nik Nazmi Nik Ahmad

SH

No comments:

Post a Comment