Wednesday, July 6, 2011

Panggilan misteri

SHAH ALAM: Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam dia membuat laporan polis berhubung kehilangan adiknya, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, selepas menerima satu panggilan telefon individu tidak dikenali.

Zaidah Shamsuddin, 52, dari Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang berkata, panggilan dibuat seorang perempuan itu memberitahunya Noorhisham sudah hilang. Oleh itu, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, dia memutuskan membuat laporan polis di Kuantan pada 6 September tahun lalu. Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan Noorhisham , 38. Zaidah berkata, dia tidak mengetahui secara jelas pekerjaan Noorhisham kerana adiknya itu “tidak banyak bercakap”. Sementara itu, saksi pendakwaan ke-11, Erni Erinawati Sofia Buhari, 22, ketika memberi keterangannya mengesahkan ada membuat dua laporan polis berhubung kehilangan ibunya di Balai Polis Dang Wangi masing-masing pada 30 Ogos dan 2 September 2010.


Anak keempat Sosilawati itu yang kini bertugas di cawangan Nouvelle Beauty Center Sdn Bhd di Cyberjaya berkata, semua maklumat dalam laporan itu termasuk nombor telefon Kamaruddin Ahmad Kamil dan Noorhisham diperoleh daripada kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana, 26.

Mengulas berhubung peribadi Kamaruddin, saksi itu berkata: “Uncle Kamal mula bekerja dengan emak sejak tiga tahun lalu sebagai pemandu dan pembantu peribadi. Uncle seorang yang baik, suka berjenaka dan seorang yang sangat mengambil berat.” Ketika disoal semula oleh Ishak mengapa dia yang bertindak membuat laporan polis dan bukannya Erni Dekritawati Yuliana, Erni Erinawati Sofia berkata, kakak sulungnya itu perlu menjaga adik-beradik mereka yang lain di rumah. Erni Dekritawati Yuliana dan Erni Erinawati Sofia adalah antara enam anak hasil perkongsian antara Sosilawati dan bekas suaminya, Buhari Mohamed. Empat lagi ialah Erwan Suwari Ridzuan, 25; Md Erwan Nasri, 24; Erni Reenilawati, 21, dan Siti Nur Fatimah, 14. Terdahulu, anak saudara Kamaruddin, Khairul Izwan Ismail berkata, dia mendapat tahu bahawa Kamaruddin berada di Banting apabila bapa saudaranya itu menelefonnya kira-kira jam 5 petang, 30 Ogos tahun lalu. “Saya ada berjanji untuk tidur di rumah dia. Ketika itu saya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur (KL). Dia kata kalau sudah sampai di KL, hubungi dia.


“Memang sudah menjadi kebiasaan saya untuk bermalam di rumahnya jika berada di KL,” katanya. Saksi yang berkhidmat sebagai guru di Kuala Lipis, Pahang itu berkata, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Kamal itu sempat bergurau sebelum panggilan itu terputus. Bagaimanapun ketika menjawab soalan pada pemeriksaan semula oleh Ishak, Khairul Izwan berkata, dia tidak mengetahui lokasi bapa saudaranya itu selepas panggilan terakhir pada 30 Ogos tahun lalu itu.

myMetro | Panggilan misteri

No comments:

Post a Comment