Friday, July 15, 2011

Bunuh penunjuk perasaan: 700 pegawai polis Mesir dibuang kerja

KAHIRAH: Hampir 700 pegawai kanan polis Mesir dibuang kerja ekoran insiden membunuh penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat negara itu menggulingkan Presiden Hosni Mubarak awal tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Encik Mansour Essawy, berkata seramai 505 jeneral dan 164 pegawai biasa akan ditamatkan perkhidmatan mereka mulai 1 Ogos ini.

Tindakan itu diambil ekoran protes berterusan di Dataran Tahrir di sini, yang menggesa kerajaan mempercepatkan tindakan ke atas anggota polis dan pegawai-pegawai Encik Mubarak yang rasuah.

'Ini merupakan rombakan pentadbiran yang besar... bagi membawa masuk muka baru (dalam pasukan polis),' kata Encik Essawy.

Beliau turut berjanji pegawai polis yang melanggar undang-undang akan dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, pihak tentera juga mengesahkan bahawa pilihan raya September ini akan ditangguhkan.

'Diputuskan bahawa (pilihan raya Parlimen) akan diadakan Oktober atau November,' kata seorang pegawai majlis tentera yang dipetik laporan BBC.

Laporan stesen televisyen Mesir pula berkata seramai 37 pegawai yang dipecat turut berhadapan dengan tuduhan membunuh penunjuk perasaan.

Lebih 800 penunjuk perasaan terbunuh ketika kebangkitan rakyat selama 18 hari yang membawa kepada peletakan jawatan Encik Mubarak pada 11 Februari lalu.

Di sebalik pengumuman semalam, para penunjuk perasaan bagaimanapun masih tidak berpuas hati.

'Tindakan ini hanya pelali. Kami tidak akan ditipu,' kata Encik Walid Saoud, 34 tahun, yang berhimpun di Dataran Tahrir.

Menurut beliau, para penunjuk perasaan akan teruskan bantahan sehingga pasukan polis negara itu melalui rombakan menyeluruh.

Ramai di antara penunjuk perasaan pula menuntut agar anggota Kabinet sekarang meletak jawatan. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment