Saturday, August 27, 2011

2 diberi amaran

SHAH ALAM: Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan seorang wartawan Utusan Melayu diberi amaran keras oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam supaya tidak menyiarkan apa-apa komen berhubung perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang masih berjalan.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan sedemikian selepas mendengar penjelasan berhubung penyiaran satu artikel bertajuk ‘Manjeet selalu burukkan kerajaan’ dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos lalu daripada Aziz dan wartawan, Raja Syahir Abu Bakar. Akhtar berkata, tindakan akhbar itu menyiarkan artikel berkenaan tidak wajar memandangkan pihaknya belum lagi membuat apa-apa keputusan dalam kes berkenaan termasuk beberapa permohonan pihak pembelaan yang mahu mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan. Selain itu, katanya, wartawan berkenaan juga tidak pernah menghadiri perbicaraan dan kandungan artikel itu juga mengandungi fakta tidak tepat.

“Mahkamah memanggil kamu berdua untuk menegaskan apa-apa komen (berhubung kes ini) tidak boleh diterbitkan. Kamu boleh berbincang di kedai kopi, tetapi tidak boleh terbitkan (komen). “Apa yang berlaku dalam mahkamah termasuk keterangan saksi, itu kamu boleh laporkan,” katanya. Akhtar juga menegur kandungan artikel itu yang memberi gambaran proses perbicaraan di mahkamah boleh digunakan medan politik. “Hari ini, saya cuma beri amaran supaya perkara ini tidak berulang. Saya harap media ambil perhatian. Saya tidak akan mengambil tindakan tegas hari ini” katanya. Menurutnya, sebarang serangan terhadap pasukan pembelaan juga secara langsung adalah serangan terhadap mahkamah. Sebelum ini, mahkamah pada 19 Ogos lalu memerintahkan wartawan Utusan Malaysia bersama editornya hadir memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel didakwa ‘menyerang’ peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam bagi tertuduh pertama N Pathmanabhan. Manjeet sebelum itu, membangkitkan penerbitan artikel dalam akhbar Utusan Malaysia yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang masih berjalan.

Sambil menunjukkan salinan fotokopi artikel itu, beliau berkata selain Utusan Malaysia, artikel itu turut disiarkan berita TV3.

Beliau berkata, artikel berkenaan tidak mempunyai asas kerana mendakwa ada campur tangan politik dalam perbicaraan itu dan mendakwa pihak pembelaan dalam kes bunuh Sosilawati alat kepada pemimpin pembangkang.

Dalam artikel berkenaan, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishan diminta memberi ulasan berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas pihak pendakwaan dalam kes itu. Perbicaraan bersambung 12 September depan.hmetro

No comments:

Post a Comment