Saturday, August 27, 2011

Kebakaran paling tinggi



TAIPING – Sepanjang bulan Ramadan ini, Balai Bomba dan Penyelamat Taiping telah menerima sebanyak 37 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes bermula 1 hingga 22 Ogos lalu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, bagaimanapun panggilan kecemasan melibatkan kebakaran adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 22 kes. 

Menurutnya, lain-lain kes yang diterima adalah melibatkan bencana alam (4), operasi mencari dan menyelamat (1), kemalangan (3) dan khidmat-khidmat khas sebanyak 7 kes. 

“Sepanjang Ramadan, kita banyak menerima panggilan untuk khidmat khas iaitu tujuh panggilan, kes bencana alam sebanyak empat panggilan, tiga panggilan melibatkan kemalangan dan satu panggilan melibatkan operasi mencari dan menyelamat. 

“Panggilan berhubung kes kebakaran banyak melibatkan kebakaran bangunan kediaman, dapur masak, lalang dan lain-lain kebakaran.” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar orang ramai lebih peka dengan keadaan ini serta mengambil langkah berhati-hati dalam kesibukan membuat persiapan hari raya dan balik kampung. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar memastikan semua suis elektrik ditutup, serta berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah masing-masing. 

“Dari sudut keselamatan kebakaran, kaum ibu dinasihatkan agar memastikan gas ditutup selepas memasak dan jangan sesekali meninggalkan dapur dengan api yang masih terpasang atau menyala,” katanya. 

Katanya, orang ramai juga perlu memastikan semua suis atau plag dicabut sebelum meninggalkan rumah masing-masing, bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Belaiu juga tidak lupa menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan masing-masing untuk mengelak kesesakan dan mengurangkan risiko berlaku kemalangan. 

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mengikut jadual yang disediakan pihak pengurusan lebuhraya utara-selatan dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bila letih dan mengantuk, serta merancang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi.

No comments:

Post a Comment