Saturday, August 27, 2011

Tidak ikut standard

KUALA LUMPUR: Seorang pakar DNA mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa kaedah digunakan ahli kimia dalam mendapatkan ekstrak air mani dari dubur bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya tidak mengikut prosedur yang betul.
Saksi keempat pembelaan, Dr Brian Leslie McDonald berkata, ini adalah kerana ujian analisis yang dilakukan ahli kimia, Dr Seah Lay Hong itu tidak mengenal pasti terlebih dulu bahan di analisis sebagai sperma atau tidak, sebaliknya hanya membuatnya berdasarkan andaian.

Dr McDonald berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam prosiding pembelaan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26.

Beliau berpendapat, ahli kimia itu sepatutnya menggunapakai amalan standard iaitu membuat slaid calitan terlebih dulu sebaliknya terus menjalankan proses pengasingan air mani itu.

“Dr Seah tidak mengenal pasti sama ada air mani itu adalah sel tulen dan bukan dari bahan lain. Air mani adalah lebih berat dan diibaratkan seperti bola manakala sel lain adalah ringan dan dianggap seperti belon.

“Oleh itu ujian pengasingan mengikut prosedur perlu dilakukan. Calitan air mani di atas slaid perlu dibuat dan ahli kimia perlu melihat di bawah mikroskop bagi memastikan sel yang ada adalah air mani,” katanya.


Menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh, Dr McDonald berkata keputusan yang diperoleh Dr Seah adalah spekulasi dan ahli kimia itu tidak dapat memberi kesimpulan serta bukti bagi menyokong penemuannya itu. Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah itu, pegawai penyiasat Superintendan Jude Balacious Pereira dipanggil semula untuk tujuan penandaan terhadap laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari yang dirampas daripada Pusat Rawatan Islam (Pusrawi).

Prosiding bersambung pada 19 hingga 23 September ini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jka sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment