Saturday, August 27, 2011

Tajudin saman portal berita

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli mengemukakan saman RM200 juta terhadap laman portal, The Malaysian Insider dan dua yang lain atas dakwaan memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan pada 31 Mei lalu.
Dalam writ saman yang difailkan pada 18 Ogos lalu, Tajudin selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Lim Kian Leong & Co. Beliau menamakan The Malaysian Insider Sdn Bhd, sebagai defendan pertama, pemiliknya, Jahabar Sadiq dan wartawan, Shazwan Mustafa Kamal masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Tajudin mendakwa portal berita itu menerbitkan kata-kata fitnah dalam sebuah artikel selain turut mendakwa bahawa portal terbabit mengulang beberapa kata-kata fitnah menerusi artikel lain walaupun sudah dipohon menerusi surat supaya tidak berbuat demikian dan pengulangan itu menunjukkan portal terbabit berniat jahat.

Tajudin berkata, The Malaysian Insider membalas suratnya dengan penegasan bahawa kata-kata di dalam artikel itu bukan fitnah dan ia mempunyai pelbagai sumber maklumat.

Dalam saman itu, beliau menuntut ganti rugi am untuk kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang RM200 juta, ganti rugi keterlaluan dan faedah serta kos. Tarikh 19 September ditetapkan untuk pengurusan kes itu di hadapan Hakim Harminder Singh Dhaliwal.

No comments:

Post a Comment