Thursday, August 25, 2011

7,307 kompaun dalam sebulan




Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (depan, tengah) diiringi Ahmad Fuad Ismail melakukan lawatan ke bazar Ramadan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India, kelmarin.


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Sebanyak 7,307 kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India sepanjang bulan Ramadan ini.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kompaun itu yang membabitkan pelbagai kesalahan itu bernilai antara RM100 dan RM300.
Beliau berkata, selain saman, DBKL juga telah menunda sebanyak 114 kenderaan kerana menganggu lalu-lintas manakala 10 gerai disita kerana melanggar syarat.
Menurutnya, dari sudut yang positif, jumlah kompaun yang besar itu menunjukkan perniagaan di sekitar Jalan TAR dan Masjid India semakin mendapat sambutan.
“Dari maklum balas yang diterima, sambutan bazar Ramadan pada tahun ini bagi semua kawasan di ibu negara mendapat sambutan yang baik dengan jumlah pengunjung yang semakin bertambah.
“Kebanjiran pengunjung ini menunjukkan ekonomi kita sudah mulai pulih dan orang ramai memang suka berkunjung ke bazar untuk membeli barang pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke Bazar Ramadan Jalan TAR dan Jalan Masjid India di sini, semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.
Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sistem zoning yang diperkenalkan oleh DBKL di bazar tersebut pada tahun ini dilihat tidak membawa sebarang masalah kepada pengunjung, malah ia lebih memudahkan mereka.
“Sistem ini diperkenalkan untuk memberi suasana yang lebih baik di bazar ini tetapi atas permintaan peniaga yang masih tidak biasa dengan sistem itu, kelonggaran telah diberikan kepada mereka sejak dua minggu lalu,” jelasnya.
Mengikut sistem zoning itu, kawasan perniagaan di bazar itu dibahagikan mengikut jenis perniagaan bagi memudahkan orang ramai terutama untuk membuat perbandingan.-utusan

No comments:

Post a Comment