Thursday, August 25, 2011

‘Laporan tak lengkap’

KUALA LUMPUR: Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi, semalam, bukan sesuatu yang ganjil jika tiada kecederaan dialami oleh bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Prof Madya Dr David Lawrence Noel Wells, saksi ketiga pihak pembelaan, berkata demikian ketika menjawab soalan balas Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden apabila dirujuk dengan kes itu dan juga jurnal perubatan yang dikemukakan.

Menurutnya, terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi termasuk penggunaan pelincir, tahap paksaan selain kelewatan membuat aduan boleh menyebabkan kecederaan hilang.

Menjawab soalan berhubung jangka hayat sperma, Dr David mengakui terdapat kes calitan sampel sperma masih boleh diperoleh dari dubur seorang individu walaupun selepas dua hari melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, dia tetap bertegas mengatakan sampel yang baik perlu diambil sebelum tempoh 36 jam. Beliau berkata demikian ketika Mohamed Yusof merujuk kepadanya satu kes yang diterima Makmal Sains Forensik Polis Metropolitan London yang diterbitkan dalam Jurnal Forensic Science International.

Berdasarkan jurnal itu, calitan sperma masih boleh diperoleh dalam tempoh 65 jam di bahagian rektum dan 46 jam dari bahagian dubur, selepas hubungan seks. Dr David juga memberitahu mahkamah bahawa penemuan di dalam jurnal itu dilaporkan pada 1982 dan tiada lagi penemuan terbaru yang boleh menyokong kes itu serta kemungkinan terdapat kesalahan ketika mengambil sejarah pesakit.

Menjawab soalan Mohamed Yusof, Dr David mengakui maklumat dalam borang protokol perubatan (proforma) dan laporan perubatan yang diambil dari Mohd Saiful Bukhari serta disediakan oleh doktor di Hospital Kuala Lumpur, tidak lengkap “Maklumat yang ada dalam kedua-dua laporan tidak lengkap bagi tujuan pemeriksaan dan ada perkara relevan tidak dilaporkan serta begitu juga sebaliknya. “Maklumat yang lebih terperinci perlu diambil dan menggunakan perkataan asal mangsa seperti bagaimana dia dipaksa melakukan seks oral dan sebagainya,” katanya.hmetro

No comments:

Post a Comment