Thursday, August 25, 2011

Di mana Gaddafi?



TRIPOLI - Sejak kumpulan pemberontak berjaya memasuki Tripoli kelmarin kini yang masih menjadi tanda tanya masyarakat dunia sehingga kini adalah di manakah pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersembunyi? Bagaimanakah nasib Libya selepas kejatuhan rejim pemerintahan yang dipimpin oleh beliau selama 42 tahun?

Pemberontak Libya dipercayai telah menguasai hampir keseluruhan kawasan di Libya yang terletak di bawah kekuasaan Gaddafi.

Tetapi, kehilangan Gaddafi dan kegagalan mereka untuk menahan beliau selepas mengepung kediamannya dilihat sebagai satu kekurangan untuk mengisytiharkan kejayaan penuh mereka.

Pemimpin veteran Libya itu dipercayai tidak muncul di khalayak ramai selama lebih daripada dua bulan.

Beliau hanya membuat penampilan melalui rakaman mesej suara akhir, Ahad lalu dan menggesa semua penduduk bangkit untuk menentang pemberontak.

Sehingga kini kumpulan pemberontak masih tidak mengetahui lokasi sebenar di mana Gaddafi bersembunyi.

Jurucakap Pentagon di Washington percaya beliau masih berada di Libya tetapi pelbagai spekulasi berhubung kehilangannya mula tersebar secara meluas.

Berikut adalah antara lokasi yang didakwa menjadi tempat persembunyian Gaddafi sejak berlakunya pemberontakan di negara itu kira-kira enam bulan lalu;


1. Hotel Rixos, Tripoli

Pada Mei lalu, Gaddafi pernah muncul dalam sebuah rakaman stesen televisyen semasa beliau menginap di Hotel Rixos di Tripoli tanpa disedari petugas media yang turut berada di situ. Kaki tangan hotel mendedahkan terdapat sebuah terowong rahsia yang menghubungkan hotel itu ke laluan bawah tanah. Laluan tersebut dipercayai mungkin digunakan oleh Gaddafi untuk memudahkan pergerakannya secara rahsia di seluruh Libya.


2. Tunisia

Gaddafi mungkin tidak bersendirian di Tunisia kerana Perdana Menteri , Al Baghadadi al-Mahmoudi dan ketua kesatuan televisyen, Abdallah Mansour sudah pun berada di Pulau Djerba di Tunisia. Petugas media masih gagal menjejaki beliau di lapangan terbang selepas khabar angin menyatakan pemimpin Libya itu dijangka akan menghantar isteri dan anak perempuannya untuk melarikan diri ke Tunisia.


3. Afrika Selatan

Terdapat spekulasi mendakwa Gaddafi diberi perlindungan di Afrika Selatan selepas sebuah pesawat negara itu dilihat mendarat di Tripoli, Ahad lalu. Bagaimanapun, Menteri Luar., Maite Nkoana-Mashabane menolak khabar angin tersebut dan menyatakan pesawat tersebut digunakan untuk mengambil sekumpulan pekerja.


4. Kompleks Bab al-Aziziya

Kediaman Gaddafi di Kompleks Bab al-Aziziya dipercayai menjadi lokasi utama tempat persembunyian beliau sejak dahulu lagi. Tetapi usaha kumpulan pemberontak mengepung kediamannya sejurus selepas memasuki Tripoli tidak memberi sebarang tanda bahawa pemimpin Libya itu bersembunyi di rumahnya.


5. Sirte

Sokongan terhadap Gaddafi masih terus kekal di bandar kelahiran beliau di Sirte di Mediterranean. Ada pihak mendakwa beliau melarikan diri ke bandar itu untuk bersembunyi.


6. Hospital di luar Tripoli

Stesen televisyen Al-Arabiya melaporkan Gaddafi bersembunyi di sebuah hospital di Tajoura terletak di pinggir timur Tripoli. Pada Mei lalu, ketua keselamatan Britain mendakwa Gadaffi berpindah-randah dari pelbagai lokasi hospital kerana dipercayai ia menjadi ’tempat’ paling selamat dari sebarang bentuk serangan.


**Kerajaan Venezuela, Arab Saudi, Zimbabwe, Uganda turut percaya hospital di luar Tripoli menjadi lokasi utama persembunyian Gaddafi.-SH

No comments:

Post a Comment