Thursday, August 25, 2011

Mangsa tanah runtuh Sungai Ruil pindah ke Kem Brinchang

CAMERON HIGHLANDS 24 Ogos – Kesemua 137 keluarga di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata di sini akan dipindahkan ke sebuah perumahan sementara di Kem Brinchang seawal-awalnya Oktober ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Mohd. Sani Mistam berkata, kerja-kerja pembersihan tanah seluas 1.8 hektar bagi membina 137 unit rumah teres sudah bermula hari ini dan dijangka siap pada minggu pertama Oktober ini.
“Pusat transit tersebut terletak kira-kira lima kilometer dari perkampungan asal dan mereka dijangka tinggal di pusat tersebut untuk tempoh maksimum dua tahun.
“Kita akan pindahkan mereka secara berperingkat-peringkat sementara menunggu kajian daripada agensi teknikal untuk memastikan kampung mereka benar-benar selamat,” katanya pada sidang akhbar sempena program Ihya Ramadan bersama masyarakat Orang Asli Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak, Tanah Rata di sini semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Mohd. Olian Abdullah dan Pengarah Jakoa Pahang, Isa Abdul Hamid.
Pada 7 Ogos lalu, tujuh penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata maut selepas rumah mereka musnah akibat kejadian tanah runtuh
Dalam pada itu, Mohd. Sani berkata, perumahan sementara di atas tanah ihsan pemaju swasta itu juga bakal dilengkapi dengan kemudahan tandas, bekalan air serta elektrik.
Menurut beliau, segala bantuan makanan juga akan diteruskan meskipun penduduk Orang Asli telah berpindah ke kawasan tersebut.
“Sekiranya kawasan itu didapati tidak selamat untuk didiami selepas tempoh dua tahun, kita mungkin buat kerja-kerja pembaikan cerun atau memindahkan mereka ke tempat lain, tetapi itu belum pasti lagi,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan majlis sambutan di Dewan Jubli Perak di sini bagi meraikan 38 keluarga beragama Islam bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli bukan Islam yang lain.
Sementara itu, Tok Batin perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Kader Ahsan, 42, berkata, mereka akan berpindah sekiranya ia merupakan pilihan yang terbaik bagi mereka.
“Kami akan berpindah sekiranya kawasan tersebut sudah didapati tidak sesuai lagi untuk diduduki demi faktor keselamatan,” katanya.utusan

No comments:

Post a Comment