Friday, August 26, 2011

Lelaki kena reman kes tipu



TEMERLOH – Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan seorang penganggur ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM140,000 milik seorang pengurus insurans di Mentakab.

Perintah tahanan reman dikeluarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen Temerloh Sakiah Abdullah terhadap lelaki berusia 20 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bermula 24 Ogos 2011 hingga 27 Ogos 2011 ini.

Perintah tahanan reman adalah di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, untuk merakam risikan percakapan dan untuk soal siasat lanjut penglibatan suspek dalam kes bersindiket serta untuk mendapat maklum balas pihak bank.

Berdasarkan kejadian itu pegawai insurans terbabit mendakwa dihubungi beberapa lelaki pada 18 Ogos lepas yang mendakwa pegawai kanan polis dari Bukit Aman dan Hong Kong.

Dalam perbualan telefon kesemua suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank miliknya telah disalah guna beberapa pihak di Hong Kong untuk kegiatan jenayah dan wang milik mangsa telah bercampur dengan wang hasil kegiatan jenayah di Hong Kong.

Mangsa ditawarkan beberapa lelaki terbabit kaedah untuk membersihkan wang yang telah bercampur dengan kegiatan jenayah dengan syarat memasukkan sebahagian wang ke dalam lima akaun milik lima individu berlainan.

Selepas membuat transaksi melalui internet sebanyak RM260,000 termasuk RM140,000 melalui akaun bank milik suspek, mangsa merasakan dirinya tertipu.

Mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan lanjut pihak polis telah menahan seorang penganggur berusia 20 tahun di Batu Pahat ketika sedang cuba membuat pengeluaran wang yang dipindahkan ke dalam akaunnya.

Polis kini sedang dalam siasatan bagi mengenal pasti dalang utama jenayah tersebut dan tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket yang melakukannya. Polis juga sedang menyiasat pemilik empat lagi akaun bank yang terlibat.

No comments:

Post a Comment