Friday, August 26, 2011

SPR timbang guna dakwat kekal



KUALA LUMPUR 25 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) selain daripada sistem biometrik bagi memastikan tidak berlaku masalah pengundian bertindih.
Sehubungan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, SPR kini mempunyai beberapa pilihan untuk dilaksanakan sama ada sistem biometrik atau dakwat kekal atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, beliau berkata, hanya satu sistem sahaja akan dipilih dan ia bergantung kepada hasil kajian menyeluruh yang kini sedang dijalankan oleh SPR.
“Tidak dinafikan sistem biometrik yang kita cadangkan sebelum ini baik, tetapi ia tetap mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu antaranya mesin pengimbas tidak boleh membaca ibu jari dan masalah cip kad pengenalan rosak.
“Oleh itu, kita perlu berhati-hati. Kita tidak mahu timbul masalah pada hari pengundian. Jika sistem biometrik berjalan dengan baik, tidak ada masalah, tetapi bagaimana pula sebaliknya?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan tuntutan lapan perkara oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kepada media di Wisma Bernama di sini hari, ini.
Cadangan penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada lapan cadangan yang terkandung di dalam tuntutan Bersih dan kini telah diambil perhatian oleh SPR untuk dipertimbangkan.

No comments:

Post a Comment