Friday, August 26, 2011

Pusat judi siber diserbu



KUANTAN - Gara-gara leka bermain judi ala kasino di dua pusat siber di Jalan Beserah dan Padang Lalang, tujuh lelaki di tahan di dalam Ops Judi oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) manakala 20 komputer disita di sini, malam semalam.

Operasi bersepadu itu dijalankan secara bersepadu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah dan Telekom Malaysia Berhad.

Dalam operasi selama tiga jam bermula jam 10.30 malam semalam, dua pusat siber yang tidak berlesen di Jalan Beserah dan di Padang Lalang di serbu pihak berkuasa selepas didapati menyediakan permainan judi ala kasino.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Kemasyarakatan MPK, Haslinda Hassan berkata, operasi bersepadu yang diadakan itu merupakan yang pertama dijalankan bersama agensi kerajaan.

Menurutnya, kerjasama dengan SKMM dijalankan bagi memantapkan lagi penguatkuasaan terhadap pemilik pusat siber yang masih degil.

“Kita mengenal pasti 34 pusat siber yang terlibat dengan mesin judi malah sudah mengambil tindakan seperti memotong bekalan elektrik sebelum ini.

“Bagaimana pun, pemilik premis tersebut masih berdegil malah membuat penyambungan semula. Justeru, MPK bekerjasama dengan SKMM untuk memotong talian internet di premis terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Haslinda berkata, daripada jumlah berkenaan, 26 pusat siber masih beroperasi antaranya di Jalan Air Putih, Jalan Pasar dan Padang Lalang.

Katanya, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terhadap premis yang dikenal pasti pusat siber yang menyediakan perkhidmatan mesin judi terbabit.

Kesemua yang ditahan di bawa balai bagi membantu siasatan atas kesalahan perjudian komputer.

Pada operasi sama, sebuah pusat hiburan di Jalan Gambut turut dikenakan kompaun oleh MPK atas kesalahan melanggar syarat iaitu menjalankan kaunter juruhebah tanpa kelulusan.

No comments:

Post a Comment