Friday, August 26, 2011

Sampel calitan sperma rosak

Oleh Murni Wan Omar murni@hmetro.com.my KUALA LUMPUR: Seorang pakar DNA memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa sampel calitan sperma yang diambil dari dubur bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, sudah rosak memandangkan ia diambil 56 jam selepas kejadian liwat didakwa berlaku. Saksi keempat pembelaan, Dr Brian Leslie McDonald berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding pembelaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari. Menurutnya, sampel itu tidak akan menunjukkan keputusan yang baik jika ujian profil DNA dilakukan memandangkan ia hanya diambil selepas 56 jam dan 48 jam lagi disimpan di dalam suhu bilik. “Keputusan profil DNA Mohd Saiful Bukhari tidak konsisten dengan sejarah kes. Jarak tempoh masa lama dari kejadian kepada waktu sampel itu diambil sangat lama. “Sampel yang disimpan pada suhu bilik dan berada dalam keadaan lembap boleh menyebabkan berlaku pertumbuhan bakteria serta memusnahkan sampel itu,” katanya. Menjawab soalan peguam bela Ram Karpal, Dr Brian berkata, pengambilan sampel calitan daripada badan Mohd Saiful tidak mengikut pakai amalan standard kerana tiada slaid calitan disediakan sebelum ia dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis. Sementara itu, merujuk kepada kesilapan menandakan label dua botol plastik mengandungi calitan diambil dari beberapa bahagian badan dan sekitar bahagian luar dubur Mohd Saiful, Dr Brian berkata sepatutnya kesilapan itu perlu dibetulkan mengikut prosedur yang ditetapkan. Dua bekas tersebut mengandungi sampel Mohd Saiful Bukhari yang bertarikh 26 Jun 2008 sedangkan Mohd Saiful menjalankan pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008. Dr Brian berpendapat, oleh kerana kesilapan itu, ujian DNA yang dilakukan itu sepatutnya negatif. Pada 16 Mei lalu, Anwar, 64, diarah membela diri atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jka sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment