Tuesday, July 3, 2012

Bendera Pas dikoyak, dibakar

Bendera Pas dikoyak, dibakar
Noranif menunjukkan cebisan bendera PKR yang dibakar dan di sebelahnya bendera Pas yang telah dikoyak menjadi separuh.
KUALA KLAWANG - Pas Kawasan Jelebu melahirkan kekesalan apabila mendapati sembilan bendera parti itu dan PKR dirosakkan malam kelmarin.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Jelebu, Noranif Selamat berkata, kejadian disedari pada malam 30 Jun lalu ketika dia dalam perjalanan ke tapak ceramah Pakatan Raya (PR) yang diadakan di Kampung Bukit, Ulu Jelebu.

Menurutnya, ketika melalui simpang ke Kampung Dulang kira-kira jam 8 malam, dia mendapati bendera parti yang dipasang sudah dirosakkan.

"Bendera itu dipasang bersempena ceramah umum PR yang diadakan pada malam tersebut.

"Pada sebelah siangnya jentera Pas Jelebu memasang sembilan bendera termasuk salah satunya bendera PKR di kesemua laluan masuk ke Kampung Bukit bermula dari Pekan Kuala Klawang," katanya.

Noranif berkata, dia dan Ketua Unit Amal Pas Jelebu, Hanafi Ahmad Zainuddin yang berada di lokasi kejadian mendapati kesemua bendera sudah dipotong sehingga separuh dan satu darinya dibakar.

"Mengesyaki ia perbuatan khianat, saya turut melaporkan perkara itu kepada polis pada petang 1 Julai 2012 di Balai Polis Kuala Klawang," katanya.

Katanya, ini adalah kali kedua pihaknya membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Sebelum ini ia pernah berlaku di Pasoh ketika berlakunya ceramah PR.

"Malah ada juga bendera Pas yang dijahit bersama bendera DAP di mana bendera DAP diletakkan di atas bendera Pas dalam keadaan dijahit. Ini merupakan tindakan menghina parti Islam dan kita sebagai ahli Pas amat sensitif akan perkara ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, dia meminta agar pihak berkuasa menyiasat perkara itu agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

"Walau bagaimanapun kejadian sebegini langsung tidak melemahkan semangat Pas dan PR untuk meneruskan siri ceramah sehingga Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) diadakan,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment