Friday, September 28, 2012

Bajet PR libat semua

Bajet PR libat semua
Keratan Sinar Harian semalam
SHAH ALAM – Pas menolak dakwaan parti itu kurang berperanan dalam Bajet Pakatan Rakyat (PR) 2013 yang dibentang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin

Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, misi bajet untuk membangunkan sebuah negara berkebajikan yang mempunyai rakyat berbilang agama dan bangsa dengan mengeluarkan mereka yang berpendapatan rendah dari kepompong kemiskinan membuktikan peranan Pas.

“Itu (Pas kurang berperanan) tidak benar sama sekali. Teras negara berkebajikan adalah membangunkan rakyat, memberikan ruang mereka berperanan dalam tuntutan beragama dan mendayakan diri mereka.

“Apabila ekonomi sesebuah keluarga berada di tahap stabil, dari sini dapat mengurangkan penceraian, jenayah, keruntuhan akhlak sebabnya isi rumah boleh membina keluarga dengan pendapatan yang wajar dan bermaruah dan institusi keluarga lebih terjamin,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, PR menggunakan pendekatan penyelesaian dalam Islam iaitu penyelesaian yang holistik (membantu mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik dari yang sebelumnya).

Beliau berkata, pemimpin bertanggungjawab mengeluarkan rakyat keluarga dari garis kemiskinan kerana mengurangkan kos perbelanjaan dari segi rumah, kenderaan, pinjaman pendidikan akan membantu rakyat memperoleh ‘pendapatan boleh berbelanja’.

“Saya hendak bezakan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak buat, mengesan golongan miskin, kekalkan mereka di tahap itu dengan memberikan mereka infrastruktur sesuai untuk mereka.

“Golongan miskin diberikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia. Situasi ini menunjukkan golongan miskin tidak diberikan peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Tidak membantu mengeluarkan mereka dari keluarga miskin kepada yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, membantu rakyat tidak cukup dengan memberikan bantuan sahaja dan mengharapkan mereka akan berubah, sebaliknya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“Dalam menyediakan bajet itu, kami memandang dan menimbang dalam kedudukan negara di ambang pelbagai ancaman seperti hutang yang terus membengkak. Memandang kepada defisit bajet yang hampir 14 tahun berterusan, berbelanja lebih dari pendapatan. Dan memandangkan jurang kaya miskin semakin melebar, yang paling lebih di antara negara Asia,” katanya.

No comments:

Post a Comment