Friday, September 28, 2012

Bekas Ketua Wanita PKR menang saman fitnah



Georgetown: Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah (gambar) berjaya menuntut ganti rugi dalam saman fitnah ke atas tiga individu berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Norhayati Jaafar sebagai defendan pertama; Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutong, Jab Samad (defendan kedua) dan Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Anuar Kamaruddin (defendan ketiga), membayar RM30,000 setiap seorang kepada Aminah sebagai ganti rugi am. Aminah pula diarah membayar RM15,000 sebagai bayaran kos kepada Wartawan Harakah, Mohd Sabri Said yang dinamakan defendan keempat; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman (defendan kelima) dan PAS. Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu diwakili peguam, Saiful Ambar Abdullah Ambar, manakala semua defendan diwakili VS Raveentharan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese dalam keputusannya, bagaimanapun mendapati defendan keempat mempunyai perlindungan bersyarat, kes terhadap defendan kelima pula gagal diwujudkan, manakala PAS adalah sebuah parti politik dan tindakan ke atas parti berkenaan disifatkan cacat.

Fail saman fitnah RM6 juta

Pada 15 Jun tahun lalu, Aminah memfailkan saman fitnah RM6 juta terhadap lima individu dan PAS selepas mendakwa laporan akhbar itu antara lain memberi maksud plaintif jahil agama dan tiada pengetahuan dalam syariat Islam, menerima umpan kebendaan daripada UMNO dan dituduh menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam tuntutannya, Aminah mendakwa sekitar 20 atau 21 Mei tahun lalu, defendan pertama, kedua dan ketiga bersama-sama melalui sidang media di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk peribadi serta tuduhan tidak berasas bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah, nama baik dan reputasinya.

Defendan keempat kemudian didakwa dengan niat jahat melaporkan kenyataan berkenaan dalam artikel bertajuk ‘Kenyataan Aminah Bertentangan Syariat’ yang disiarkan dalam Harakah ruangan Fokus di muka surat N18, Koridor Pakatan Rakyat Edisi 20-22 Mei 2011.

Defendan kelima selaku Ketua Pengarang Harakah membenarkan defendan keempat melaporkan kenyataan itu dan PAS selaku defendan keenam dan pemilik akhbar berkenaan, menyiarkan keseluruhan kenyataan terbabit.

No comments:

Post a Comment