Friday, September 28, 2012

Bekas pemandu lori derita barah buah pinggang



GHAZALE Muhamad (bersongkok) menyampaikan sumbangan kepada Norliza Mohd. Nazir dan Razali Pie di Merlimau, Melaka, baru-baru ini.
JASIN 26 Sept. - Tiada apa yang mampu dilakukan oleh seorang bekas pemandu lori, Razali Pie, 45, selain menitiskan air mata tanpa sepatah pun kata-kata yang mampu diucapkan tatkala menahan kesakitan akibat barah pinggang yang dideritainya sejak setahun lalu.
Penderitaan yang ditanggung Razali dikongsi bersama isterinya, Norliza Mohd. Nazir, 38, yang hidup dalam keadaan serba kekurangan sejak suaminya berhenti kerja dan tidak mampu bergerak.
"Saya reda dengan ujian yang menimpa kehidupan kami, namun hati pilu apabila melihat keadaan suami yang langsung tidak mampu bergerak, apatah lagi berkata-kata setiap kali menahan kesakitan.
"Selepas suami saya berhenti kerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan beberapa bulan lalu, kehidupan kami sekeluarga hanya bergantung pada wang simpanan termasuk membeli keperluan lampin pakai buang untuk suami," katanya.
Keadaan hidup yang tidak seberapa ditambah kesihatan suaminya yang semakin merosot membuatkan Norliza mengambil keputusan berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kampung Pasir Gembur, Tedong, Merlimau.
Norliza bersama suami dan tiga anaknya sebelum ini tinggal menyewa di Sempang, Merlimau dengan kos sewaan RM250 sebulan.
Kata Norliza, dia tidak menyangka keadaan kesihatan suaminya yang pada awalnya hanya mempunyai masalah kencing berdarah setahun lalu sedikit demi sedikit merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan barah.
Norliza berkata, suaminya itu kini sudah tidak boleh bertutur dan menggerakkan anggota badan.
Penderitaan Razali dan keluarganya bagaimanapun mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhamad yang melawat keluarga itu baru-baru ini.
Ghazale ketika sesi lawatan itu menyampaikan sumbangan katil khas dan bantuan bulanan pesakit kronik bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.
Menurut Ghazale, bantuan yang diterima Razali adalah antara inisiatif JKM bagi membantu mengurangkan beban tanggungan keluarga itu.

No comments:

Post a Comment