Friday, September 28, 2012

Tuntutan royalti: 3 amanat penting Nik Aziz

Tuntutan royalti: 3 amanat penting Nik Aziz
Nik Aziz (duduk kiri) bergambar bersama rombongan NGO Royalti
ketika melawat beliau, semalam
KOTA BHARU - Biarpun masih berehat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, namun Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersemangat menyokong usaha-usaha anak-anak muda menuntut hak ke atas royalti minyak.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menziarahi Nik Aziz dan beliau turut memberikan tiga pesanan penting dalam usaha memperjuangkan hak rakyat itu.

Naib Presiden NGO Royalti, Dr Syed Khalid Abdullah berkata, sempena lawatan itu Nik Aziz meminta rakyat Kelantan hadir beramai-ramai Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya pada 2 dan 3 Oktober nanti.

“Nik Aziz juga mengharapkan bagi yang tidak dapat bersama-sama konvoi mega itu, rakyat diminta untuk mengerjakan solat hajat dan berdoa semoga perbicaraan kes Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 3 Oktober ini memihak kepada Kerajaan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mahukan seluruh rakyat Kelantan seboleh-bolehnya mengibarkan bendera dan melekatkan pelekat kenderaan ‘R’ di kenderaan seluruh Kelantan serta Malaysia sebagai sokongan terhadap usaha yang dilakukan tersebut.

Dr Syed berkata, lebih memberi semangat kepada NGO tersebut apabila semalam Nik Aziz mengesahkan akan bersama-sama menyertai Ceramah Mega R Tuntut Royalti Putrajaya di Shah Alam pada malam 2 Oktober nanti.

“Kami sangat menghargai kesungguhan dan sokongannya walaupun ketika ini  beliau kurang sihat. Ini menaikkan semangat kami untuk teruskan perjuangan untuk menuntut hak rakyat negeri ini,” katanya.

Bagi memberi semangat, Nik Aziz bersama anak beliau, Nik Abduh turut memakai t-shirt R sebagai menyokong dan menghargai kegigihan anak-anak muda berjuang menuntut royalti ketika lawatan itu semalam.

Dalam pada itu, Dr Syed berkata,  program mega tersebut akan menampilkan pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Selain itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin akan bersama menyertai program itu.
Manakala, wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sabah dijemput menghadiri program berkenaan serta rombongan R dari Kelantan akan bertolak 2 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment