Monday, October 29, 2012

Bot jadi tempat berteduh

Bot jadi tempat berteduhGambar satelit yang menunjukkan kemusnahan lebih 800 infrastruktur yang dibakar dalam insiden keganasan etnik di Kyaukpyu, barat Rakhine. Gambar:HRW
SITTWE - Ribuan orang Islam Rohingya yang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan di Rakhine kini terpaksa tinggal bersesak di dalam bot berhampiran kem di barat Myanmar, kelmarin selepas lebih 80 orang dilaporkan terkorban akibat penindasan etnik di kawasan itu.

Serangan terhadap etnik Rohingya kembali tercetus pada minggu lalu  menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri dari kawasan yang sebelum ini dihuni oleh golongan minoriti tersebut.

Insiden pertumpahan darah terbaru yang turut dikecam oleh negara antarabangsa itu telah meragut sekurang-kurangnya 82 nyawa termasuk 36 wanita manakala ratusan lagi cedera.

Kerajaan tempatan kini merancang untuk memindahkan mereka ke lokasi lebih sesuai, Pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk menyalurkan bantuan kepada mereka.

Pada masa ini, ribuan bot dilaporkan telah berlabuh di pulau bertentangan dengan Sittwe, di mana kebanyakan penduduk Rohingya berlindung daripada menjadi mangsa keganasan etnik di negeri itu.

Difahamkan, puluhan ribu orang Islam Rohingya dilaporkan telah mendapat perlindungan di beberapa kem sekitar Sittwe sejak Jun lalu.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) turut menyiarkan gambar satelit yang menunjukkan kemusnahan infrastruktur yang teruk di kawasan Kyaukpyu, di mana menjadi lokasi utama penempatan penduduk Rohingya. - AFP

No comments:

Post a Comment