Monday, October 29, 2012

NFC: Mahkamah tolak permohonan Shamsubahrin batal 22 tuduhan

Datuk Shamsubahrin Ismail
Datuk Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang memohon untuk mengetepi dan membatalkan kesemua lima tuduhan menipu dan 17 tuduhan berkaitan penggubahan wang haram.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding hujahan kes itu hari ini.
Kamardin berkata, selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menolak permohonan dkemukakan itu kerana mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut.
Mahkamah juga mengarahkan kes yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen diteruskan.
Peguam yang mewakili Shamsubahrin, Kamarul Hisham Kamaruddin dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membatal dan mengenepikan pertuduhan-pertuduhan dan pendakwaan terhadap anak guamnya.
Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berhujah bahawa tatacara pemohon dalam mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi adalah tidak tepat dan menyalah guna proses mahkamah.
“Tiada peruntukan undang-undang kepada Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan sebelum semua keterangan dikemukakan. Hakim tiada kuasa membatalkan pertuduhan dan mengarahkan pihak pendakwaan menarik balik kes,” katanya.
Jun lalu, Shamsubahrin mengaku tidak bersalalah di Mahkamah Sesyen atas lima tuduhan menipu Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Salleh Ismail dengan sengaja menjanjikan satu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan mendorong beliau bersetuju menerima wang perkhidmatan membabitkan sejumlah RM1.75 juta.
Shamsubahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shamsubahrin Ismail  Resouces Sdn Bhd turut menghadapi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan itu.
Beliau kemudiannya memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi pada 10 September lalu bagi mengenapi dan membatalkan kesemua tuduhan yang dihadapi.
Perbicaraan kes tersebut kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen, bermula pada tarikh sama beliau memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi itu dijadual bersambung pada 5 hingga 9 November depan.
Setakat perbicaraan kes itu, seramai 10 saksi telah dipanggil memberi keterangan dan  membabitkan sebanyak 39 barang kes  telah dikemukakan kepada mahkamah.

No comments:

Post a Comment