Ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur
Ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur membuat laporan polis berhubung artikel yang disifatkan mereka memburukkan imej pemandu teksi.
KUALA LUMPUR - Kenyataan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sebuah akhbar berbahasa Inggeris, bahawa perkhidmatan Go-KL tidak mungkin dihentikan mengecewakan pihak Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, kerana menyifatkan ia sebagai tindakan membelakangkan tuntutan mereka.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohamed Asharaf Yasin  berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan ketika belum ada sebarang kata putus dengan perbincangan yang berlangsung.
Menurutnya, pertemuan pada 2 Oktober lalu juga dijanjikan pertimbangan sembilan perkara yang dinyatakan, namun tiada sebarang keputusan sehingga kini.

“Apabila kenyataan tersebut dikeluarkan, ia seolah-olah tidak menghormati perbincangan yang berlangsung sebelum ini.

“Kenyataan yang dibuat tidak menggambarkan kerjasama bersama kami sebagai pemandu teksi,” katanya kepada Sinar Harian sambil menyifatkan perkhidmatan bas percuma Go-KL yang turut ditawarkan oleh warga asing membuatkan mereka tambah terjejas.

Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, adalah pihak bertanggungjawab dalam insiden mogok lebih 200 pemandu di Bukit Bintang, 1 Oktober lalu.
Mogok selama lima jam itu berakhir dengan jaminan pihak SPAD untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara-perkara berbangkit yang membawa kepada tindakan nekad itu.
Mohamed Asharaf berkata, pihaknya berharap agar perkara yang dinyatakan dipertimbangkan sewajarnya sebelum sebarang keputusan diambil.
“Jika isu-isu berbangkit tidak dapat diselesaikan pihak bertanggungjawab, kami tidak teragak-agak untuk membuat perkara sama (mogok), malah lebih besar daripada sebelum ini.
“Kami tertekan dengan situasi yang berlaku, kerana itu kami mahu pihak bertanggungjawab selesaikan masalah kami,” katanya.

Difahamkan, pihaknya telah menghantar memorandum bantahan kepada pihak SPAD berhubung perkara itu, kelmarin.

Dalam masa sama, persatuan tersebut membuat laporan polis berhubung artikel yang disiarkan sebuah akhbar tempatan (bahasa Inggeris) rentetan daripada mogok berlangsung yang disifatkan mereka menggambarkan imej buruk pemandu teksi.

Dalam laporan tersebut turut menyatakan pihak persatuan mahu permohonan maaf dibuat ke atas mereka serta membuat penarikan balik artikel terbabit sebelum mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.