Sunday, October 7, 2012

Turki lancar serang balas

ISTANBUL 6 Okt. - Turki kembali melancarkan serangan balas terhadap Syria, hari ini dan semalam, selepas tentera Syria didakwa membedil wilayahnya yang terletak terlalu hampir dengan wilayah sempadan Turki, Hatay, lapor agensi berita Anatolia.
Menurut Gabenor Hatay, Celalettin Lekesiz, serangan Syria berlaku 50 meter hampir mengenai sempadan kawasan terpencil berdekatan bandar Yayladagi, Turki, yang terletak dalam wilayah Hatay, mengundang tindakan balas daripada pasukan tentera Turki.
Bagaimanapun beliau berkata, tiada sesiapa yang cedera dalam serangan itu.
Serangan terbaru itu berlaku dua hari selepas Syria melakukan serangan di bandar sempadan Turki, Akcakale, sehingga mengorbankan lima sekeluarga, menyebabkan Turki bertindak membalas serangan, yang memburukkan lagi hubungan antara dua negara yang berjiran.
Pertempuran itu berlaku walaupun sebelum itu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan Syria yang menyerang sempadan Turki Rabu lalu dan juga serangan pengganas menggunakan bom kereta yang menyebabkan 50 orang terkorban di Aleppo, pada hari yang sama.
Dalam perkembangan lain di Syria, tentera Syria melancarkan serangan menerusi jet pejuang di kawasan kubu kuat pemberontak berdekatan Homs, semalam.
Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, serangan di daerah Khaldiyeh itu merupakan yang paling buruk dalam tempoh lima bulan pertempuran di Homs dan kali pertama rejim menggunakan jet pejuang untuk menyerang pemberontak.
Pemberontak pula bertindak membalas serangan dengan melepaskan tembakan ke arah helikopter rejim di wilayah Damsyik serta menawan pusat pemeriksaan tentera di luar bandar timur, Deir Ezzor, menyebabkan 12 tentera terkorban. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121007/lu_01/Turki-lancar-serang-balas#ixzz28bdrVqsQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment