Friday, December 28, 2012

Cubaan guling Morsi: Tiga pemimpin pembangkang Mesir disiasat



Kaherah - Pendakwa raya Mesir mengarahkan siasatan ke atas tiga pemimpin pembangkang terkemuka Mesir atas dakwaan terbabit dalam cubaan menggulingkan Presiden Mohamed Morsi.

Tiga lelaki berkenaan ialah Mohamed ElBaradei, Amr Mousa dan Hamdeen Sabahi yang telah membentuk pakatan pembangkang di tengah-tengah kemelut bantahan diadakan terhadap Morsi.

Terdapat juga kebimbangan ketegangan akan menjadi semakin buruk di antara penyokong Morsi dan pihak pembangkang.

Ketiga-tiga pemimpin pembangkang ini telah membentuk gabungan Barisan Penyelamat Kebangsaan dan mengambil tempat semasa protes terhadap Morsi.

Mousa dan Sabahi merupakan calon dalam pilihan raya presiden yang dimenangi Morsi Jun lalu.

Semalam,  Menteri Hal Ehwal Parlimen, Mohammed Mahsoub meletak jawatan kerana mendakwa dasar kerajaan banyak yang bercanggah dengan kepercayaan peribadinya.

Mahsoub merupakan menteri kedua yang meletak jawatan dalam minggu ini.

Pendakwa raya, Talaat Ibrahim yang dilantik sendiri oleh Morsi bulan lepas, turut dipecat.

Langkah ini menimbulkan kemarahan di kalangan hakim kanan negara kerana menganggap ia sebagai serangan ke atas kuasa mereka.

Ramai hakim mengambil tindakan memulaukan penyeliaan referendum perlembagaan baru yang diluluskan itu walaupun hanya satu pertiga sahaja rakyat yang keluar mengundi tempoh hari.

Pilihan raya parlimen kini dijangka akan mengambil tempat dua bulan dari sekarang.

No comments:

Post a Comment