Friday, December 28, 2012

Mursi rombak Kabinet



pix_gal0
Ikrar pulihkan ekonomi Mesir, pilih calon layak anggotai perlembagaan

Kaherah: Presiden Mesir, Mohamed Mursi berkata, beliau akan melakukan rombakan Kabinet selepas perlembagaan baru negara itu dikuatkuasakan, ketika kumpulan penentang menggesa tunjuk perasaan baru diadakan.
Mursi berkata, beliau sedang berunding dengan Perdana Menteri, Hisham Qandil untuk memilih calon yang layak menganggotai kabinet baru itu. Laporan menyatakan sekurang-kurangnya lapan orang menteri akan diganti.
Saya hanya mengambil keputusan kerana Allah dan demi kepentingan negara," Mohamed Mursi, Presiden Mesir

“Saya akan melakukan segala usaha untuk memulihkan ekonomi Mesir yang berdepan cabaran hebat, tetapi masih mempunyai peluang untuk berkembang. Saya akan melakukan segala perubahan yang diperlukan bagi tugas ini,” katanya.

Dalam ucapan pertama menerusi televisyen sejak pungutan suara bagi pindaan perlembagaan diadakan pada 15 dan 22 Disember, Mursi berkata, beliau bersedia berbincang dengan pihak yang menentang perlembagaan baru itu.

Sedia adakan dialog

Beliau juga mengakui bahawa Mesir dilanda keadaan kacau-bilau sejak beberapa minggu lalu, tetapi menegaskan bersedia mengadakan dialog.
“Saya mengambil keputusan sukar untuk menguatkuasakan perlembagaan baru yang menerima sokongan 64 peratus rakyat. Bagaimanapun, perlembagaan ini penting untuk mewujudkan era baru yang lebih stabil untuk Mesir.

“Memang benar kedua-dua pihak melakukan kesilapan dalam tempoh ini, tetapi saya bersedia memikul tanggungjawab untuk anda semua. Saya hanya mengambil keputusan kerana Allah dan demi kepentingan negara,” katanya.

Mursi menegaskan, keputusan pilihan raya akan mengakhiri keadaan tidak menentu di Mesir, sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan Februari tahun lalu dan akan menjadikan Mesir sebuah negara yang stabil dan selamat.

Mengenai keganasan yang berlaku Mursi menegaskan: “Malang sekali kerana ada sebilangan orang yang tidak menyedari perbezaan antara hak menyuarakan pendapat dengan menggunakan keganasan untuk memastikan pendapat mereka diterima.”

Tolak berlaku penipuan

“Perbezaan pendapat di dalam sistem demokrasi adalah sesuatu yang sihat, tetapi kita semua mesti menolak keganasan,” katanya.

Mursi juga menolak dakwaan berlakunya penipuan dan menegaskan beliau akan memenuhi hasrat rakyat untuk kemajuan, kejayaan dan keadilan sosial di negara itu. - AFP

No comments:

Post a Comment