Fatah - Hamas
Penyokong Fatah berhimpun sambil mengibarkan bendera dan melaungkan slogan di Genting Gaza pada Jumaat lalu. Foto: AP
BANDAR GAZA - Puluhan ribu penyokong gerakan Fatah berhimpun untuk pertama kali di Genting Gaza sejak perpecahan pada tahun 2007 sempena ulang tahun ke-48 penubuhannya, pada Jumaat lalu.

Perhimpunan yang turut dihadiri pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) itu menandakan satu percubaan baru antara Hamas dan Fatah untuk bersatu susulan daripada kejayaan Gerakan Pertahanan Islam tersebut menangkis serangan rejim Zionis semasa Perang Israel-Palestin, November lalu.

Perdana Menteri Ismail Haniyeh turut menyatakan hasrat beliau agar kedua-dua gerakan itu menamatkan pertelingkahan dan bekerjasama untuk mewakili suara penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap kerajaan Hamas. Ihab al-Ghussian memaklumkan mesyuarat pertama untuk membincangkan perkara tersebut dijadualkan akan diadakan di Kaherah pada minggu depan.

Usaha untuk mendamaikan Fatah dan Hamas dilihat semakin hampir walaupun beberapa rundingan damai untuk mencari jalan bagi berkongsi kuasa gagal akibat perbezaan pendapat sejak beberapa tahun lalu. - AP