Monday, January 7, 2013

Suu Kyi enggan bantu etnik Kachin



Seorang wanita pelarian Kachin mengendong seorang bayi dan memimpin seorang lagi anaknya di luar khemah pelarian di Hpun Lum Yang IDP dekat Laiza yang merupakan ibu pejabat Tentera Pembebasan Kachin, di utara pada Jumaat lalu. - AGENSI
YANGON 6 Jan. - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, hari ini berkata, beliau tidak akan membantu usaha menamatkan konflik berdarah antara tentera dan etnik Kachin tanpa kebenaran kerajaan.
Menurut pemimpin pembangkang Myanmar itu, kes itu kini dikendalikan oleh kerajaan dan terpulang kepada kerajaan, sama ada mahu beliau membantu dalam menyelesaikan konflik tersebut.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau bersedia untuk terlibat dalam usaha menyelesaikan krisis berdarah di utara negara ini, ekoran tindakan tentera melancarkan serangan udara ke atas etnik tersebut, yang mencetuskan kebimbangan global.
Suu Kyi berkata, beliau memerlukan jemputan rasmi untuk menyertai rundingan damai bagi menamatkan perang saudara yang menyuramkan proses pembaharuan politik di Myanmar.
Berpuluh-puluh ribu orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik tersebut sejak Jun lalu apabila gencatan senjata selama 17 tahun antara kerajaan dan Tentera Kemerdekaan Kachin (KIA) terlerai.
Seorang ahli perniagaan tempatan yang menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara pemberontak Kachin dan kerajaan Myanmar, Yup Zaw Hkaung, semalam menggesa Suu Kyi terlibat dalam usaha menamatkan pertempuran di Kachin yang semakin memburuk sejak beberapa minggu lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130107/lu_04/Suu-Kyi-enggan-bantu-etnik-Kachin#ixzz2HGl7hDDL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment