Rogol gempar dunia
Pelbagai mesej diluahkan melalui puluhan poster dipaparkan di tepi jalan sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang sebelum ini mengabaikan hak golongan wanita di New Delhi.
SELURUH rakyat India khasnya golongan wanita mengadakan demonstrasi di seluruh negara sejak bulan lalu.

Mereka menggesa badan perundangan negara itu menjatuhkan hukuman mandatori terhadap enam pesalah yang didakwa merogol pelajar perubatan wanita berusia 23 tahun di dalam sebuah bas di New Delhi, India pada bulan lalu.

Kesemua tertuduh termasuk seorang lelaki bawah 18 tahun akan dihadapkan ke mahkamah selepas ditahan pihak berkuasa selang beberapa hari kejadian yang turut mencederakan teman lelaki mangsa.

Rentetan dari itu, kumpulan aktivis di negara tersebut turut menuntut hak membanteras keganasan wanita yang sebelum ini tidak dihiraukan kerajaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan teruk pada organ dalaman dan bengkak otak meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Hospital Mount Elizabeth Singapura, 29 Disember lalu.