Mohammed Morsi
Mohammed Morsi
KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi menyokong desakan rakyat Syria supaya Presiden Bashar al-Assad, yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak 22 bulan lalu, dibicarakan kerana jenayah perang.

“Rakyat Syria sudah melalui revolusi dan apabila pertumpahan darah berhenti, mereka mempunyai parlimen dan bebas memilih kerajaan sendiri.

“Biar rakyat juga yang menentukan apa yang patut dilakukan kepada orang-orang yang melakukan jenayah jenayah terhadap mereka, biar rakyat Syria sendiri yang tentukan,” kata beliau dipetik CNN semalam.

Bashar berusaha menghancurkan protes antikerajaan, yang tercetus pada tahun 2011.

Dalam ucapannya semalam, Bashar menegaskan tidak akan membenarkan unsur-unsur keganasan dan menggariskan empat langkah untuk menyelesaikan krisis Syria.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sekurang-kurangnya 60,000 telah terbunuh.

Presiden Mesir turut mengulangi desakan supaya Bashar meletak jawatan.

Revolusi Mesir telah menumbangkan bekas Presiden, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011.

Mohamed berkata, Mesir akan cuba mendapatkan sokongan dunia Arab dan antarabngsa untuk menggantikan Bashar.

“Fasa ini adalah fasa rakyat dan seperti yang rakyat Mesir mahu, itu jugalah yang rakyat Syria mahukan.

“Kita juga sentiasa menyokong rakyat Syria dan mereka mempunyai semangat untuk menang,” ujarnya.