Monday, January 7, 2013

India serang pos kawalan Pakistan dekat Kashmir




ISLAMABAD 6 Jan. - Seorang askar Pakistan terbunuh, manakala seorang lagi cedera apabila sekumpulan tentera India menyerang sebuah pos kawalan terletak di sempadan kedua-dua negara terbabit di Kashmir, hari ini.

Tentera Pakistan dalam satu kenyataan berkata, kejadian berbalas-balas tembakan itu berlaku selepas askar India melakukan serangan mengejut ke atas pos kawalan itu, yang terletak di Garisan Kawalan (LOC) di kawasan Haji Pir, 80 kilometer ke utara Islamabad.

Kenyataan tersebut berkata, tentera India telah melintasi garisan tersebut dan menyerang pos Sawan Patra.

"Tentera Pakistan bertindak-balas terhadap serangan tersebut dan seorang askar negara ini terbunuh dalam serangan itu, manakala seorang lagi cedera parah.

"Askar India kemudiannya berundur dan meninggalkan sepucuk pistol serta sebilah pisau," jelas kenyataan berkenaan.

Wilayah Kashmir yang dikuasai majoriti penduduk Islam terletak di Himalaya, menjadi rebutan antara India dan Pakistan sejak sekian lama serta mencetuskan perang sebanyak dua kali antara kedua-dua itu sejak 1947.

India sebelum ini turut menggantung proses perjanjian damai dengan Islamabad selepas siri serangan militan yang berpangkalan di Pakistan ke atas Mumbai pada 2008.

Namun, perbincangan rundingan damai itu hanya di sambung semula pada Februari tahun lalu.

Isu perebutan wilayah Kashmir masih menemui jalan buntu tetapi beberapa tanda positif mula dapat dilihat apabila kedua-dua negara mula menjalin hubungan dagangan.

Satu perjanjian gencatan senjata di Kashmir antara New Delhi dan Islamabad telah dipersetujui sejak November 2003, namun kedua-dua negara berkenaan dilapor sering terlibat dalam pertempuran kecil dan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. - AFP



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130107/lu_05/India-serang-pos-kawalan-Pakistan-dekat-Kashmir#ixzz2HGkPsUaL
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment