Wednesday, February 20, 2013

Askar Syria, pemberontak lakukan jenayah



BEIRUT 19 Feb. - Kerajaan Syria dan pemberontak yang terbabit dalam perang saudara di negara itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan kerana melakukan kekejaman dan keganasan, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Suruhanjaya Inkuiri terhadap Syria dalam laporannya, kelmarin mendedahkan kira-kira 70,000 orang telah terbunuh sejak meletus konflik di Syria pada Mac 2011.
Laporan setebal 131 muka surat itu menghuraikan dengan terperinci tindakan-tindakan radikal dan keganasan oleh kedua-dua pihak untuk mencapai matlamat masing-masing, hingga mencetuskan ketakutan dan kesukaran kepada penduduk awam.
Suruhanjaya itu berkata, ia akan menyerahkan senarai sulit baru nama penduduk Syria yang disyaki terlibat melakukan jenayah keganasan terhadap kemanusiaan kepada ketua Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay pada bulan depan.
Seorang anggota suruhanjaya itu, Carla del Ponte berkata, keadilan perlu dilaksanakan memandangkan jenayah masih berterusan di Syria dan angka kematian meningkat setiap hari.
Ketika bercakap kepada media di Geneva, Switzerland, del Ponte mengkritik kuasa dunia kerana tidak melakukan sesuatu bagi menamatkan perang dan mendesak Majlis Keselamatan PBB merujuk kes tersebut kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Sementara itu, Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pula menangguhkan lagi proses penghantaran senjata ke Syria, dalam usaha mengehadkan kemampuan kedua-dua pihak untuk bertempur.
Pengumuman itu, bagaimanapun, hanya memberi sedikit kesan kepada keadaan semasa di Syria, ketika pemberontak sedang berusaha menawan pangkalan udara di utara negara itu, manakala tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad, berterusan menggempur kubu pemberontak di seluruh negara.
Pegawai-pegawai EU berkata demikian sebelum mengadakan mesyuarat di Brussels, Belgium, bagi memutuskan perkara tersebut memandangkan Britain mendesak untuk meneruskan pembekalan senjata ke Syria.
Bagaimanapun, tujuh menteri luar dari negara lain membangkang tindakan itu.
Dalam situasi lain di Syria semalam, pemberontak menawan pusat kawalan kerajaan di sebatang jalan menuju lapangan terbang kedua terbesar Syria yang menghubungkan pangkalan tentera udara Nairab, termasuk stesen minyak di situ, kata Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan itu berkata, kerajaan Syria berjaya memasuki bandar Safira di tenggara Aleppo, namun tentangan hebat pemberontak menghalang mereka menuju ke bandar terbesar di utara Syria itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130220/lu_05/Askar-Syria-pemberontak-lakukan-jenayah#ixzz2LOoPpNmQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment