Ismail Sabri Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membincangkan isu penjualan air jampi yang dilihat semakin berleluasa pada masa ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha itu juga diambil untuk mengawal penjualan air jampi di pasaran sekiranya terdapat unsur penipuan dan mendatangkan kekeliruan kepada pengguna.
"Kami akan bincang dulu dengan Jakim supaya kita boleh kawal air jampi yang menggunakan iklan yang boleh mengelirukan pengguna sekaligus menipu mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 8,531 penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, semalam.
Beliau berkata walaupun tiada sekatan dikenakan terhadap penjualan air jampi di pasaran, garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan haruslah ditepati peniaga produk itu terutama dari segi pengiklanan.
"Kami telah keluarkan peraturan bahawa tidak boleh mengeluarkan iklan yang mengelirukan semata-mata untuk menarik pengguna membeli sesuatu produk dan garis panduan itu hendaklah dipatuhi oleh mereka," katanya.
Beliau berkata kedegilan pengusaha produk untuk mematuhi peraturan itu boleh diambil tindakan kerana cuba menipu orang ramai.
Ismail Sabri berkata tindakan juga boleh dikenakan terhadap mereka yang mengeluarkan testimoni tidak tepat setelah menggunakan sesuatu produk kerana ia mengundang kekeliruan orang ramai terhadap produk itu.
"Testimoni pengguna kena tepat iaitu mereka mesti buktikan sesuatu produk yang diambil itu berkesan atau tidak ke atas mereka, sekiranya didapati testimoni tidak tepat, dia boleh diambil tindakan kerana menipu," katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan para penuntut supaya tidak menyalah guna BB1M dengan menukarkannya dalam bentuk wang tunai dengan pihak ketiga.
Tindakan itu boleh membantut hasrat kerajaan yang mahu meringankan bebanan penuntut ketika membeli bahan bacaan yang diperlukan untuk pembelajaran, katanya sambil menggalakkan mahasiswa membeli buku di koperasi universiti masing-masing. - Bernama