hadi awang
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersalahkan Umno sebagai bertanggungjawab merosakkan tulisan jawi yang sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini suatu ketika dahulu.

Beliau yang turut kesal dengan sikap Umno seolah-olah juara rakyat kononnya dalam isu kalimah ALLAH berkata, kesalahan Umno itu menyebabkan masyarakat masa kini semakin jauh dengan Islam sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Jelasnya, dengan tulisan yang jawi yang diubah kepada sistem rumi telah menyebabkan beberapa perkataan berubah maksud sebenar dan boleh dipersoalkan seperti ‘nikmat’ dalam tulisan rumi yang difahami sebagai perkara  yang baik dan menyeronokkan membawa maksud celaka.

“Ketika baru-baru lepas merdeka, tulisan jawi ada lagi. Surat Perjanjian Pangkor digunakan tulisan jawi, orang putih buat perjanjian Singapura guna tulisan jawi, tiba-tiba Umno hapus tulisan jawi, masa Umno (memerintah). Kita orang Melayu kena sedar kesilapan Umno ini.

“Siapa yang memudahkan agama kefahaman orang Islam. Kita tengoklah akibatnya di tiap-tiap kampung ada kes dadah dan tiap-tiap keluarga ada kes dadah macam banjir yang tidak boleh disekat,” katanya ketika mengadakan ceramah di Pulau Bahagia, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Dr Khairudin Aman Razali dan Adun Sura, Wan Hasan Mohd Ramli.   

Tulisan jawi dimansuhkan penggunaannya oleh mantan Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Johari sekitar tahun 1960an.

Abdul Hadi berkata, keadaan itu juga menyebabkan orang Melayu semakin menjauhkan diri daripada syariat Islam.

Berhubung isu kalimah ALLAH, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan beliau tiada khilaf dengan Majlis Syura Ulama Pas dan Dewan Ulama Pas, sebaliknya Umno dikatakan sengaja mengheret isu tersebut untuk memancing undi pilihan raya.

Jelasnya, penggunaan kalimah ALLAH sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk dibenarkan dalam Kitab Injil berbahasa Melayu itu perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan bukannya Pas.

Abdul Hadi menjelaskan, isu kalimah ALLAH telah selesai pada 2010 apabila beliau diajak oleh Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan perbincangan dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), mufti dan menteri berkaitan.

“Itu adalah bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan kita (Pas). KDN bawah dia  (Kerajaan Barisan Nasional), Jakim pun bawah dia dan dia (Kerajaan BN) perlu ambil tanggungjawab ini tahun 2010 lagi,” katanya.