Friday, March 8, 2013

Kiram minta gencatan senjata


Dua anggota pengganas terbaring di atas tanah dengan tangan terikat selepas ditahan oleh anggota polis Malaysia apabila mereka keluar daripada persembunyian di Kampung Tanjung Labian, sebuah kampung terletak dekat Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, kelmarin, - REUTERS
MANILA 7 Mac - Kumpulan yang menceroboh Sabah diketuai Jamalul Kiram, hari ini meminta diadakan gencatan senjata, selepas kerajaan Malaysia melancarkan tindakan ketenteraan besar-besaran bagi menumpaskan mereka.
Menurut jurucakap ketua kumpulan pengganas itu, Abraham Idjirani, Jamalul Kiram mengisytiharkan gencatan sebelah pihak pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia) dan menggesa Malaysia mengambil tindakan yang sama.
''Kami tidak akan mengambil apa-apa tindakan. Mereka (penceroboh) akan kekal di mana mereka berada sekarang. Mereka tidak akan memperluaskan operasi,'' kata jurucakap itu ketika membacakan kenyataan Jamalul Kiram.
Beliau merujuk kepada antara 100 hingga 300 pengganas terbabit yang kini berada di Sabah.
Abraham berkata, tindakan Jamalul Kiram itu adalah bagi menyahut permintaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, semalam supaya menamatkan pertempuran dan membuka ruang dialog antara kedua-dua belah pihak terlibat.
''Jamalul Kiram mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak, sebagai maklum balas kepada permintaan PBB untuk mengelak kehilangan nyawa.
''Kami berharap Malaysia mengambil tindakan sama,'' katanya.
Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu di selatan Filipina menghantar pengikutnya ke Lahad Datu sejak 11 Februari lalu bagi menuntut Sabah yang didakwa sebagai wilayahnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130308/lu_05/Kiram-minta-gencatan-senjata#ixzz2Mtj1MrMs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment