Friday, March 8, 2013

Perwira dianggap mati syahid



Kota baharu: Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam serangan penceroboh di Sabah dianggap mati syahid.

Beliau berkata, tidak wajar mana-mana pihak mempersoalkan status kematian wira negara dalam mempertahankan tanah air.


“Walaupun kematian anggota pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan pencerobohan itu tidak dianggap sebagai syahid dunia dan akhirat seperti zaman Nabi yang berperang dengan bukan Islam, namun ia tetap dinamakan mati syahid kerana kematian mereka adalah untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara,” katanya di sini, semalam.

Mohamad Shukri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diminta mengulas mengenai terdapat pihak yang mempersoalkan kematian wira negara dalam mempertahankan tanah air daripada pencerobohan kumpulan bersenjata warga Filipina di Lahad Datu, Sabah.


“Mengikut sabda Nabi Muhammad SAW sesiapa yang mempertahankan nyawa, harta daripada dirompak, kehormatan diri daripada dirogol atau mati dalam kemalangan juga dinamakan mati syahid dan wajib dikebumikan sebagaimana jenazah yang mati dalam keadaan biasa,” katanya.


Beliau berkata tidak sepatutnya mana-mana pihak atau negara luar mempersoalkan hak Malaysia terhadap bumi Sabah. “Sesiapa yang mempertikaikan isu itu seolah-olah mencabul kedaulatan negara kita dan ia perlu dipertahankan.

“Cuma, kalau ada sesiapa ingin menuntut sesuatu hak itu tidak boleh kecuali melalui undang-undang kerana kita ada mahkamah dunia, pencerobohan itu sendiri adalah salah dari segi hukum agama.


“Begitu juga contohnya, jika ada orang bunuh anak kita, kita tidak boleh bunuh balik kerana kita ada undang-undang, mereka yang melakukan tindakan sendiri tanpa berpandukan kepada undang-undang disifatkan mengamalkan undang-undang rimba,” katanya.

No comments:

Post a Comment