Friday, March 8, 2013

Pemberontak Syria tahan 21 anggota pengaman PBB


DAMSYIK 7 Mac - Pemberontak Syria semalam menangkap seramai 21 anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di zon gencatan senjata di Bukit Golan antara Syria dan Israel, ketika mereka menguasai keseluruhan bandar utama utara Raqa.
Sehubungan itu, PBB terus mengadakan rundingan dengan pihak pemberontak bagi membebaskan kesemua anggota pasukan pengaman yang berasal dari Filipina itu, hari ini, kata ketua tentera pengaman PBB, Herve Ladsous.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada masa sama menuntut pembebasan segera kesemua anggota pasukan pengaman berkenaan dan mahu pemberontak menghormati 'kebebasan pergerakan dan keselamatan anggota tentera pengaman tersebut'.
Menurut seorang jurucakap pemberontak yang berunding dengan PBB berkata, kesemua tentera pengaman itu akan diterus ditahan sehingga tentera Presiden Bashar al-Assad berundur dari sebuah kampung di Bukit Golan.
''Sekiranya tentera kerajaan tidak berundur, kesemua tentera pengaman itu akan dilayan seperti banduan,'' kata jurucakap pemberontak, Abu Kaid al-Faleh.
Sementara itu, jurucakap tentera Filipina, Kolonel Arnulfo Burgos berkata, mereka mendesak tentera pengaman berkenaan yang merupakan sebahagian daripada 300 tentera dari Filipina dibebaskan dengan serta merta.
''Mereka dilayan seperti tetamu dan bukannya musuh, Kita juga menaruh harapan yang tinggi bahawa mereka akan dibebaskan tidak lama lagi,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Antonio Guterres mendakwa kira-kira sejuta rakyat Syria telah meninggalkan tanah air mereka sejak krisis itu meletus dua tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130308/lu_10/Pemberontak-Syria-tahan-21-anggota-pengaman-PBB#ixzz2MtjtFBSo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment