Wednesday, March 6, 2013

Penghormatan pengkebumian pahlawan buat Michael



06/03/2013 4:34pm

KUCHING — Jasa dan pengorbanan Asisten Supritendan yang kini dinaikkan pangkat kepada Deputi Supritendan, Michael Padel Sano, 36, seorang daripada lapan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh di Semporna, Sabah, Sabtu lepas, mendapat pengiktirafan kerajaan negeri Sarawak untuk disemadikan di Makam Pahlawan, di sini hari ini.
Dalam suasana sedih, balunya Jabah Mingku, 35, dan anak tunggal mereka, Macluie, 11, mengucapkan salam perpisahan kepada Michael yang jenazahnya tiba dari Kampung Tebakang Bidayuh di Serian, kira-kira 70 kilometer dari sini, untuk dikebumikan di sisi perwira lain dari Sarawak, termasuk penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa, Datuk Temenggung Kanang anak Langkau.
Bapa saudara mendiang, Morris Budit dalam ucapannya berkata, Michael terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara, sama seperti mendiang bapanya Padel Sano, yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak keluarga mendiang kepada semua pihak yang memberi sokongan, mengutuskan ucapan takziah dan doa, yang membantu meringankan kesedihan dan keperitan rasa, Morris juga menyatakan penghargaan mereka kepada kerajaan negeri kerana memberi penghormatan pengkebumian perwira kepada Michael dan menyemadikan jenazah anak saudaranya itu di Makam Pahlawan. — BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2MlqcDomX 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment