Saturday, March 16, 2013

Serangan drone cabul kedaulatan Pakistan




ISLAMABAD 15 Mac - Ketua pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyiasat insiden ramai penduduk awam di Pakistan terbunuh dalam serangan pesawat drone Amerika Syarikat (AS) di negara ini mendapati serangan-serangan itu mencabul kedaulatan Pakistan.

Pengisytiharan itu dibuat selepas pasukan itu melakukan lawatan penyiasatan di negara ini yang berakhir kelmarin.

Rapoteur khas PBB mengenai hak asasi dan serangan keganasan, Ben Emmerson berkata, kerajaan Pakistan memberi penjelasan kepadanya bahawa ia tidak memberi kebenaran kepada serangan-serangan tersebut pendirian yang dipertikaikan oleh pegawai-pegawai AS.

Presiden Barack Obama telah memberi kebenaran kepada drone CIA untuk menjadikan wilayah persembunyian militan al-Qaeda dan Taliban di Pakistan sepanjang sempadan Afghan sebagai sasaran serangan drone sejak beliau mengambil alih pentadbiran AS pada 2009.

Serangan-serangan tersebut telah mencetuskan kontroversi kerana ia diselubungi rahsia dan dakwaan ia telah menyebabkan ramai penduduk awam terbunuh dakwaan yang dinafikan oleh AS.

Menurut satu kenyataan PBB, Emmerson telah menghantar emel kepada The Associated Press, hari ini menyatakan bahawa kerajaan Pakistan memaklumkan kepadanya bahawa ia telah mengesahkan sekurang-kurangnya 400 penduduk awam terbunuh dalam serangan drone AS di wilayah-wilayah Pakistan.

Kenyataan Emmerson itu dikeluarkan semalam, selepas pasukan itu melakukan lawatan tiga hari ke Pakistan yang berakhir kelmarin. Lawatan itu dirahsiakan sehingga Emmerson berlepas pulang.

Imtiaz Gul, seorang pakar tentang militan di Pakistan yang membantu pasukan Emmerson berkata, pertubuhan yang beliau pimpin, Pusat bagi Penyelidikan dan Kajian Keselamatan memberi maklumat kepada pasukan penyiasat PBB itu semasa lawatannya bahawa daripada 25 serangan drone itu kira-kira 200 penduduk awam terbunuh.

Pasukan penyiasat PBB berhubung kematian penduduk awam akibat serangan drone dan serangan-serangan lain di Pakistan dan beberapa negara lain itu ditubuhkan pada Januari lalu dan dijangka membentangkan laporannya pada Oktober ini.

Sejak beberapa tahun, Pakistan telah membenarkan pesawat drone AS berlepas dari pangkalan tenteranya di negara ini. Dokumen-dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks pada 2010 menunjukkan pegawai-pegawai kanan Pakistani memberi kelulusan itu secara rahsia kepada diplomat-diplomat AS, tetapi pada masa yang sama mengecamnya secara terbuka.

Kerjasama itu kemudian berkurangan selepas hubungan antara Pakistan dan AS merosot.

Pada 2011, Pakistan menarik balik kebenaran kepada AS untuk menggunakan pangkalan udaranya di barat laut negara ini, selepas serangan drone AS mengorbankan 24 askar Pakistan.

"Pendirian kerajaan Pakistan adalah jelas," kata Emmerson.

"Ia tidak memberi kebenaran kepada penggunaan drone oleh AS di wilayahnya dan menyifatkannya sebagai pencabulan ke atas kedaulatan Pakistan dan integriti wilayahnya."

Pakistan mendakwa serangan drone itu merupakan satu generasi baru tindakan militan yang radikal dan menyatakan bahawa Pakistan mampu memerangi pelampau-pelampau Islam di negaranya, kata Emmerson. - AGENSI



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130316/lu_05/Serangan-drone-cabul-kedaulatan-Pakistan#ixzz2Ng9ybobc
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment