BANDA ACEH 4 April - Kira-kira 3,000 penduduk Aceh mengadakan demonstrasi di sini, hari ini sebagai tanda sokongan kepada pemimpin tempatan untuk menjadikan bendera pemisah sebagai lambang rasmi di wilayah ini, yang melaksanakan undang-undang Islam sebagai undang-undang pentadbirannya.
Penunjuk perasaan, kebanyakan wanita mengibarkan bendera berlatar belakang warna merah yang mempunyai satu bulan sabit dan bintang berwarna putih semasa berhimpun di Banda Aceh, ibu negeri wilayah ini, demonstrasi kedua dalam minggu ini.
Tentera dan kereta kebal dikerahkan ke lokasi kejadian ketika Menteri Dalam Negeri Indonesia, Gamawan Fauzi mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tempatan bagi menuntut mereka membatalkan keputusan Parlimen tempatan yang membenarkan penggunaan bendera pemisah di wilayah Indonesia itu yang melaksanakan undang-undang Syariah.
Bendera itu pernah digunakan oleh Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang berjuang selama 30 tahun dalam perang pemisah menentang kerajaan Indonesia sehingga perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua pihak pada 2005 yang menyaksikan Aceh muncul sebagai wilayah khas autonomi.
Pertikaian tentang penggunaan lambang itu dilihat merupakan ujian terhadap perjanjian itu.
Parlimen Aceh pada bulan lalu meluluskan satu undang-undang kecil membenarkan penggunaan bendera itu, namun ia ditentang Jakarta dan mendesak supaya keputusan tersebut dibatalkan.
Mengikut undang-undang Indonesia, penggunaan bendera pemisah adalah tidak sah.
Bagaimanapun, kerajaan wilayah Aceh yang diketuai bekas pemberontak, Zaini Abdullah yang berazam melaksanakan undang-undang Syariah menegaskan bahawa di bawah perjanjian damai itu, Aceh boleh menggunakan mana-mana lambang yang disukainya. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130405/lu_06/Aceh-tuntut-guna-bendera-sendiri#ixzz2PjluLPZT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment