Sunday, April 7, 2013

Pyongyang pindah peluru berpandu



Peluru berpandu jarak sederhana Musudan, dipamerkan semasa pameran ketenteraan Korea Utara di Pyongyang pada tahun lalu. - AFP
SEOUL 5 April - Korea Utara telah memindahkan dua peluru berpandu jarak sederhana ke bahagian pantai timur negara itu dan kini menempatkan peluru tersebut di atas pelancar, lapor agensi berita Yonhap, hari ini.
Tindakan itu, sekali gus memberi petunjuk bahawa Korea Utara, yang mengeluarkan beberapa amaran kebelakangan ini, sedia melancarkan serangan pada bila-bila masa.
"Perkara itu sudah disahkan awal minggu ini. Korea Utara memindahkan dua peluru berpandu jarak sederhana Musudan menggunakan kereta api ke bahagian pantai timur dan memuatkan peluru tersebut ke dalam kenderaan yang dilengkapi pelancar," menurut laporan tersebut yang memetik kenyataan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Pegawai itu berkata, kenderaan yang membawa peluru berpandu itu kini disembunyikan di kawasan khas di bawah tanah.
"Korea Utara dilihat tidak teragak-agak untuk melancarkan peluru berpandu tanpa sebarang amaran," katanya.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan, yang mengesahkan pemindahan satu daripada peluru berpandu itu semalam, enggan mengulas tentang laporan tersebut.
Pemindahan peluru berpandu tersebut merupakan antara langkah terbaharu Korea Utara, yang mengeluarkan beberapa amaran perang nuklear sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS), semalam berkata, pihaknya telah mengambil 'kesemua langkah berjaga-jaga' terhadap ancaman yang dikeluarkan Pyongyang.
Peluru berpandu Musudan tidak pernah diuji, namun dipercayai mempunyai keupayaan jarak sejauh kira-kira 3,000 kilometer dan mampu mencapai jarak 4,000 kilometer dengan muatan rendah.
Dengan keupayaan sejauh itu, peluru berpandu tersebut mampu sampai ke Korea Selatan dan Jepun, termasuk mencapai sasaran hingga ke pangkalan tentera AS yang terletak di Kepulauan Guam di Lautan Pasifik. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130406/lu_03/Pyongyang-pindah-peluru-berpandu#ixzz2PjokyjmS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment