Sunday, April 7, 2013

Ancaman hanya propaganda



Seoul: Diplomat asing di Pyongyang mempertimbangkan nasihat Korea Utara supaya memindahkan rakyat masing-masing semalam ketika kebimbangan terhadap kemungkinan kerajaan melancarkan peluru berpandu kian meningkat.

Bulgaria berkata, ketua misi Kesatuan Eropah akan bertemu bagi mencari persetujuan bersama terhadap amaran Pyongyang.


Jurucakap Pejabat Luar Britain pula berkata, negara itu percaya amaran Pyongyang sebahagian daripada retorik Korea Utara yang menganggap Amerika Syarikat sebagai ancaman.

Pegawai Korea Selatan turut bersetuju dengan pandangan itu.


Katanya, amaran Pyongyang bahawa mereka tidak dapat menjamin keselamatan kedutaan asing di Korea Utara jika tercetus konflik sebagai ‘propaganda meletakkan tanggungjawab di Semenanjung Korea kepada AS.’ Pelancong Barat yang kembali dari Pyongyang juga berkata, situasi di situ tenang dan kehidupan berjalan seperti biasa. Warga Denmark Tina Krabbe berkata, mereka gembira tiba di Beijing selepas melawat Korea Utara selama lima hari, tetapi keadaan di Pyongyang tidak menyebabkan mereka bimbang. Amaran Pyongyang dikeluarkan kelmarin ketika Korea Utara didakwa memuatkan dua misil jarak sederhana ke atas pelancar sebelum menyembunyikannya di kemudahan bawah tanah di pantai timur. - AFP

No comments:

Post a Comment